Paling Popular
Terkini

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor Izham Hashim menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa mereka berbohong dalam soal rundingan kerusi di negeri itu.

Beliau malah menyifatkan Azmin sebagai 'badut' dan tidak layak untuk menjadi menteri besar dan pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor.

"Tak ada (rundingan kerusi). Dia ni badut (joker). Bila kita bincang kerusi? Hanya PKR yang bincang tentang soal itu, tidak ada yang bincang dengan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau mendakwa AMANAH sudah menghantar surat rasmi kepada Azmin selaku pengerusi HARAPAN Selangor agar mengadakan mesyuarat khas bagi perkara itu, tetapi sehingga kini ia tidak diadakan.

"Nak jadi pengerusi HARAPAN Selangor kena bijak. Sejujurnya beliau tak berkebolehan (fit) untuk jadi menteri besar dan pengerusi negeri. Beliau tak boleh uruskan perkara mudah sebegini.

"Mesyuarat tak panggil kemudian tuduh kita pula yang berbohong," katanya.

Terdahulu, Azmin mendakwa AMANAH berbohong kerana mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk Selangor belum dibentuk, sedangkan ia sudah bermesyuarat sebanyak empat kali.

"AMANAH berbohong...AMANAH tidak mengatakan yang benar, AMANAH tidak amanah. Bolehkah AMANAH paling kurang memberitahu orang ramai kita telah bertemu sebanyak empat kali?" Kata Azmin.

Mesyuarat bukan runding kerusi

Izham berkata memang ada mesyuarat sebelum ini tetapi ia lebih kepada persiapan pilihan raya seperti soal daftar pemilih dan pengiraan undi, bukannya soal pembahagian kerusi antara empat parti komponen HARAPAN.

Katanya, mesyuarat tentang pembahagian kerusi pula dibuat secara berasingan antara partinya dengan PKR dan BERSATU.

"Mesyuarat empat parti untuk bincang kerusi memang tak ada, boleh semak dengan DAP dan BERSATU. Yang ada hanya mesyuarat pilihan raya," katanya lagi.

Katanya lagi, ada perbezaan jelas antara pembahagian kerusi dengan mesyuarat persiapan pilihan raya, dan wakil parti dalam mesyuarat itu tidak mempunyai mandat untuk membincangkan soal kerusi.

Beliau juga berkata, HARAPAN Selangor hanya pernah bermesyuarat sebanyak dua kali, dengan kali terakhir yang dipengerusikan Azmin adalah pada Oktober lalu.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR juga berkata sejumlah 80 peratus kerusi di Selangor sudahpun diputuskan.

Namun Pengerusi DAP Selangor Tony Pua nampaknya tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

"Saya tak tahu yang 80 peratus kerusi sudah dirunding kerana kami tidak pernah ditanya tentangnya," katanya kepada Malaysiakini.

Baca: AMANAH tak amanah, kata Azmin
 

Lihat Komen
ADS