Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
WSJ: Sekutu Trump minta wang dari Jho Low untuk pengaruhi DOJ
Diterbitkan:  Mar 2, 2018 12:00 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

The Wall Street Journal (WSJ) mendakwa telah meneliti e-mel didakwa menunjukkan cubaan rakan rapat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk berunding dengan ahli perniagaan Jho Low supaya penyiasat negara itu menggugurkan kes berkaitan 1MDB.

Menurut harian berpengaruh itu malam tadi, pemodal teroka dan penderma setia Republican, Elliott Broidy dan isterinya Robin Rosenzweig, seorang pengamal undang-undang, dalam draf cadangan meminta fi AS$75 juta (RM295 juta ) “jika Jabatan Keadilan (DOJ) segera menggugurkan siasatannya”.

“Perincian usaha yang dikatakan bagi mempengaruhi siasatan DOJ terdapat dalam cache e-mel dari Broidy dan akaun e-mel isterinya yang diperoleh oleh the Journal,” lapor WSJ.

Menurut WSJ, e-mel tahun lalu itu melibatkan perbincangan untuk membentuk kontrak rundingan dengan Jho Low.

Mereka memasukkan juga draf perjanjian antara firma guaman Rosenzweig di California dan wakil Low berkaitan kemungkinan terma-terma perjanjian rasmi.

Dalam e-mel itu juga didakwa mempunyai panduan ucapan dari Broidy yang didraf untuk pertemuan Najib dan Trump tahun lalu, yang termasuk ayat “US legal pursuit of the 1MDB matter”.

“Tidak jelas, jika ada sesuatu, datang daripada panduan ucapan itu,” kata WSJ.

Akhbar Amerika itu berkata jurucakap Najib tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan mendapatkan ulasannya berkaitan panduan ucapan ketika lawatannya ke Washington itu.

WSJ juga melaporkan Jho Low dan individu berkaitannya juga tidak menjawab soalan mereka.

Rumah Putih pula tidak menjawab soalan WSJ sama ada Trump ada membincangkan soal siasatan DOJ dengan Broidy.

DOJ, lapor WSJ, enggan mengulas perkara itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sendiri laporan ini dan telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan reaksi.

Jho Low terpalit dengan skandal 1MDB, terutamanya selepas DOJ memulakan beberapa siri saman untuk merampas aset-aset yang didakwanya diperoleh menggunakan dana 1MDB.

Minggu ini, terdapat perkembangan menggemparkan apabila kapal mewah AS$250 juta (RM1 bilion) dirampas polis Indonesia dalam operasi bersama Biro Siasatan Persekutuan (FBI), AS.

Jawapan peguam Broidy dan Rosenzweig

Sementara itu, WSJ juga melaporkan peguam Broidy dan Rosenzweig – Chris Clark – menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pemprosesan e-mel itu oleh WSJ.

Clark, dalam kenyataan, berkata firma guaman Rosenzweig telah berhubung dengan Pras Michel (bawah), rakan Jho Low yang juga anggota kumpulan hip-hop The Fugees, “untuk membekalkan nasihat strategik sebagai sebahagian pasukan besar Low”.



Clark berkata, beberapa strategi dibincangkan dengan Broidy, Michel dan anggota lain pasukan itu.

“Tetapi tidak sekali pun Broidy atau Rosenzweig, atau pihak yang bertindak bagi mereka, membincangkan kes Low bersama Presiden Trump, mana-mana kakitangannya atau sesiapa di Jabatan Keadilan AS.

“Kami bimbang Wall Street Journal memiliki draf dokumen dalaman yang tidak pernah digunakan, dan tidak pernah dihasrat untuk dikongsi bersama pihak ketiga,” Clark dipetik sebagai berkata oleh WSJ.

“Kami persoalan kesahan dan kesesuaian tindakan memperoleh dokumen-dokumen itu.”

Menurut laporan itu, Broidy ialah naib presiden untuk kempen dana bersama Trump dengan parti Republikan semasa kempen pilihan raya presiden 2016, yang membantu mengutip US$108 juta.

WSJ menggelarkannya sebagai “penderma lama Republikan” yang sekarang menjawat jawatan timbalan pengerusi kewangan dalam jawatankuasa kebangsaan Republikan.

DOJ sedang menyiasat dakwaan pengubahan wang haram melalui sistem kewangannya yang berkaitan 1MDB, yang disifatkan Peguam Negara AS Jeff Sessions pada Disember tahun lalu sebagai kleptokrasi “paling teruk”.

Pihak berkuasa Malaysia menafikan sebarang salah laku berkaitan dana itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS