Paling Popular
Terkini

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia menyerahkan maklumat serta dokumen yang diminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) ketika parti itu berdepan kemungkinan dibubarkan.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata ROS sepatutnya perlu menerika maklumat yang diberikan BERSATU kerana ia adalah fakta.

Kata Dr Mahathir maklumat yang akan diberikan kepada ROS itu disertakan dengan dokumen.

"Kita boleh jawab semua soalan-soalan yang ditanya, dan bila kita jawab benda yang benar, ROS mesti terima," katanya.

Mengikut Dr Mahathir ROS perlu bersikap demikian kerana pada masa sama mereka boleh menerima penjelasan daripada Umno "walaupun tanpa laporan".

"Kalau daripada Umno, dia (ROS) boleh terima keputusan (walaupun) tak ada laporan, daripada kami pula, keputusan yang ada laporan dan bukti mestilah diterima dan diluluskan oleh ROS," katanya pada sidang media di Tanah Merah, Kelantan, sempena program Ramah Mesra Jelajah Pakatan Harapan (HARAPAN), hari ini.

Terdahulu, ROS mengeluarkan notis kepada BERSATU supaya parti itu menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan, termasuk minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat.

ROS terima penjelasan Umno

ROS juga mahu meneliti penyata kewangan parti bagi melengkapkan siasatan berikutan aduan yang dikemukakan oleh anggota parti terbabit.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, berkata sekiranya BERSATU gagal menyerahkan maklumat dan dokumen yang diminta tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan perintah pembubaran ke atas parti berkenaan.

Umno pula didakwa melanggar perlembagaan parti apabila sekali lagi menangguhkan pemilihan mereka sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang mesti dibuat selewat-lewatnya Ogos ini.

Pada 1 Mac Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan parti itu mengikut prosedur dikeluarkan ROS apabila membuat penangguhan berkenaan.

Empat hari kemudian ROS mengesahkan penangguhan pemilihan itu tidak melanggar peruntukan perlembagaan Umno.

"Dengan ini, ROS mengesahkan bahawa kelulusan permohonan untuk mengadakan pemilihan di peringkat majlis tertinggi Umno tahun 2017 adalah selaras dengan peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17.

"Ia yang memperuntukkan penangguhan pemilihan di peringkat majlis tertinggi, bahagian dan cawangan yang tidak boleh melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Surayati berkata, dalam perkara itu, Umno telah menetapkan supaya pemilihan parti berkenaan diadakan pada 19 April 2019.


Baca ROS beri amaran bubar BERSATU


Kata Dr Mahathir, jika BERSATU akhirnya dibubarkan mereka mempunyai pilihan untuk melaksanakan pelan tindakan yang sudah disediakan.

Bagaimanapun, katanya, pelan tindakan itu hanya tidak dapat digerakkan jika kerajaan menggantung PRU.

"Kita (boleh) guna cara lain kecuali dia (kerajaan) kata, pilihan raya dibatalkan dan (mereka) kekal sebagai diktator.

"(Kalau) itu (terjadi) kita kena terima, tak boleh buat apa," katanya.

Dr Mahathir mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai hak untuk tidak membubarkan Dewan Rakyat bagi mengelak PRU ke-14 diadakan.

“Ia di bawah bidang kuasa dia untuk berbuat sedemikian. Undang-undang tidak akan menghalangnya,” kata beliau pada 29 Jun tahun lalu.

Menurut bekas perdana menteri selama 22 tahun itu Najib boleh mengisytiharkan darurat atau kecemasan dalam negara walaupun hakikatnya tidak pun timbul situasi sebegitu.

Keadaan itu katanya membolehkan perdana menteri menggantung perlembagaan.

Lihat Komen
ADS