Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Nan: Umno ikut prosedur ROS tangguh pemilihan

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan parti itu mengikut prosedur dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi menangguhkan pemilihan parti.

Beliau berkata ia selaras dengan kelulusan daripada ROS dengan merujuk kepada Seksyen 13 A (4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftaran Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh atau waktu pemilihan pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat.

Menjawab dakwaan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa ROS bersifat pilih kasih dalam isu tersebut, beliau berkata kelulusan penangguhan pemilihan parti sehingga 18 bulan itu adalah berdasarkan kepada struktur dan syarat-syarat yang dikehendaki selepas mengadakan mesyuarat parti dari peringkat cawangan hingga ke majlis tertinggi.

"Masalahnya PPBM ini sebenarnya mereka mesyuarat cawangan pun tiada. Kita mempunyai struktur dan ikut apa yang dikehendaki oleh ROS…jadi jangan salahkan ROS bila parti mereka susah mendapat kelulusan pendaftaran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut laporan media, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendakwa keputusan ROS meluluskan penangguhan pemilihan parti UMNO jelas bercanggah dengan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno.

Bekas timbalan presiden Umno itu berkata, ketika PPBM berdepan isu sama, ROS menolak sebarang penangguhan dibuat sebaliknya mendesak supaya segera dilaksanakan sekiranya mahu lulus berdaftar sebagai sebuah parti.

Tengku Adnan turut memaklumkan bahawa Pemilihan Umno yang diputuskan ditangguhkan sebelum ini akan diadakan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

“Penangguhan tersebut adalah bagi memastikan kesempurnaan perjalanan parti selaras Fasal 10.15 Perlembagaan Umno dengan proses pemilihan dalam Umno berjalan lancar dan juga mengambil kira faktor keadaan semasa politik parti,” katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut menyampaikan sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berjumlah RM70,000 kepada 3,500 golongan kurang bernasib baik pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina itu.

Seramai 250 orang komuniti Cina di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam yang kurang berkemampuan turut menerima wang sumbangan sejumlah RM27,500 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada majlis itu.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS