Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
P Pinang ke mahkamah halang persempadanan semula di parlimen

Kerajaan Pulau Pinang memfailkan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan semalam dengan lapan soalan perundangan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi negara ini.

Peguam kerajaan Pulau Pinang, Leong Cheok Keng berkata Parlimen tidak patut membincangkan perkara mengenai laporan persempadanan semula kerana ia belum diputuskan mahkamah lagi dan masih dalam pertimbangan kehakiman (subjudis).

"Jika Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan soalan berkaitan 1MDB sebagai sub judis, peraturan sama juga digunakan untuk laporan persempadanan semula SPR ini," kata Leong yang juga ADUN Malim Nawar kepada Malaysiakini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menghantar laporannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 9 Mac lalu, walaupun SPR masih belum habis mendengar rayuan terhadap siasatan tempatannya.

Laporan tersebut dijadualkan dibentang pada Khamis minggu hadapan dan Najib dikatakan mahu menggunakan persempadanan baru untuk pilihan raya umum akan datang ini.

Afidavit Sokongan Ketua Menteri

Pada 21 Februari lalu, dilaporkan Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Pulau Pinang untuk mendapat kebenaran merayu bagi permohonan semakan kehakimannya didengar sepenuh meritnya di Mahkamah Tinggi Georgetown.

Dua daripada soalan yang disebut dalam permohonan di Mahkamah Persekutuan ini meminta mahkamah memutuskan sama ada permohonan semakan kehakiman yang dipersetujui penasihat undang-undang kerajaan negeri boleh dicabar Pejabat Peguam Negara atau tidak dan bolehkah Pejabat Peguam Negara mewakili SPR.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengukuhkan permohonan tersebut dengan afidavit sokongannya semalam yang mengatakan Mahkamah Rayuan England membenarkan semakan kehakiman terhadap persempadanan semula SPR United Kingdom sebelum laporan itu dibentangkan di Parlimen UK untuk perbahasan.

"Maka, terdapat isu perundangan serius yang perlu diputuskan Mahkamah Persekutuan sama ada ia memiliki bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman sebelum laporan persempadanan semula SPR itu diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dibahaskan di Parlimen.

"Berikutan itu, Kerajaan Pulau Pinang percaya ia menepati Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mahkamah memberi kebenaran dan memutuskan persoalan yang dirayu tersebut," kata beliau.

Di Mahkamah Persekutuan, kebenaran atau kelulusan perlu didapatkan sebelum merit rayuan didengar dalam kes sivil.

SPR dijadualkan menyiapkan kerja-kerja persempadanan semula sebelum September 2018 ini sebelum menyerahkan laporannya kepada perdana menteri.

Pada Jun tahun lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam cadangan persempadanan semula untuk mengisytiharkan ia sebagai 'tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan'.

 

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS