Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rais sindir JASA: Ini kes alif disangka batang kayu
Diterbitkan:  Mar 18, 2018 6:36 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Bekas menteri kanan Tan Sri Dr Rais Yatim sekali lagi menyindir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam isu ahli perniagaan yang dikaitkan dengan dana 1MDB, Jho Low.

Kata Rais melihat kepada keadaan sekarang kepentingan Jho Low diletakkan lebih utama berbanding parti Umno atau isu ketelusan kerajaan.

Bekas menteri penerangan itu juga berkata, isu sama ada beliau berhak membuat teguran kepada kerajaan atau tidak masih dipolemikkan.

"Beginilah - jelas, Jho Low tampak lebih penting daripada Umno atau ketelusan kerajaan.

"Barangkali inilah kehendak JASA dan pegawainya. Inilah kes alif disangka batang kayu," katanya melalui ciapan di Twitter hari ini.

 

 

Sebelum ini Rais menyertai sejumlah veteran Umno menegur kerajaan dalam isu Jho Low, kapal persiaran mewah Equanimity dan 1MDB.

Seorang lagi veteran Umno yang bersuara lantang ialah Tan Sri Rafidah Aziz.

Reaksi mereka mendapat kecaman penyokong kerajaan, termasuk menteri dan pegawai kanan JASA. Untuk rekod JASA ialah sebuah jabatan yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Ekoran kenyataan terbukanya Rais yang kini masih berkhidmat sebagai penasihat sosiobudaya kepada kerajaan - dan bertaraf menteri - giat menjawab kenyataan yang disasarkan kepadanya.

Jho Low seorang ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang yang kontroversi. Dia dikatkan dengan Equanimity walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menafikan kapal itu adalah milih ahli perniagaan terbabit.

Kapal itu dirampas polis Indonesia yang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menjalankan siasatan bagi pihak kerajaan AS berhubung pelbagai aset didakwa diperolehi melalui penyelewengan dana 1MDB.

Bagaimanapun 1MDB secara konsisten menafikan syarikat itu terbabit dalam sebarang urusan kapal mewah atau pelbagai aset yang sudah, sedang atau akan dirampas AS.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan siasatan pihak berkuasa mendapati Jho Low tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB.

1MDB juga menafikan ada wangnya dicuri oleh pihak tertentu.

Lihat Komen
ADS