Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB
Diterbitkan:  Mar 7, 2018 10:52 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

Siasatan polis setakat ini mendapati juwatan berasal dari Pulau Pinang Low Taek Jho tidak terlibat dalam syarikat 1MDB, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata, siasatan terhadap Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low adalah berdasarkan penemuan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di parlimen pada April 2016.

"Daripada penyiasatan polis, Low Taek Jho tidak pernah bekerja di syarikat 1MDB dan didapati semua keputusan dan urus niaga 1MDB dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB.

"Siasatan polis ke atas ke 1MDB masih dijalankan dan berdasarkan keterangan dan siasatan polis pada peringkat ini, tiada keterangan yang kukuh untuk mengaitkan Low Taek Jho dengan keputusan dan urus niaga yang dibuat oleh syarikat 1MDB.

"Bagaimanapun sekiranya pihak polis memperoleh sebarang keterangan baru terhadap Low Taek Jho, tindakan sewajarnya menurut undang-undang akan diambil oleh pihak polis," katanya dalam kenyataan media.

Fuzi berkata, tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) merampas kapal Equanimity di Indonesia yang didakwa dimiliki Jho Low adalah tindakan pelucuthakan sivil di mahkamah Amerika Syarikat terhadap ahli perniagaan itu dan bukan terhadap 1MDB.

"Pihak Polis Diraja Malaysia juga tidak ada menerima sebarang makluman daripada pihak berkuasa Indonesia atau Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berhubung rampasan kapal layar Equanimity di perairan Indonesia pada 28 Februari 2018.

"PDRM juga tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi membantu dalam siasatan berkaitan kapal layar berkenaan," katanya.

Kapal Equanimity dirampas pihak berkuasa Indonesia di Benoa, Bali, minggu lalu.

DOJ mendakwa kapal layar mewah itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Secara keseluruhannya, DOJ mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan dari 1MDB dan saman sivil itu bertujuan merampas AS$1.7 bilion aset yang didakwa diperolehi dengan menggunakan wang yang dicuri.

Jho Low menerusi jurucakapnya dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan DOJ merampas kapal miliknya sebagai keterlaluan.

 

Lihat Komen
ADS