Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS menegaskan hasrat supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB, sebaliknya bukan mahu mempertahankan perdana menteri, kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, parti itu berpendirian RCI merupakan penyelesaiann besar dalam masalah 1MDB.

"Bukan kita nak mempertahankan perdana menteri, tapi itulah pandangan kita penyelesaian paling besar adalah dengan RCI.

"Tengok pada kes Forex Exchange apabila ada Suruhanjaya Siasatan Diraja baru keluar satu-satu. Dulu tak ada apa-apa sebab siapa berani interrogate perdana menteri?" katanya kepada media ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Pada Februari lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata PAS pernah berjumpa sendiri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi teguran berkaitan isu itu, selain membangkitkannya di Parlimen.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dana 1MDB diselewengkan dan mahu merampas aset bernilai AS$1.7 bilion yang diperolehi daripada syarikat itu dan dicuci melalui sistem kewangan negara itu.

Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB bertegas menafikan sebarang salah laku.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS memilih untuk tidak terus menghukum pihak yang dituduh terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB dan tidak bermaksud parti itu mempertahankan kejahatan.

Beliau berkata ia kerana parti itu tidak mahu menjatuhkan hukuman sebelum ia terbukti benar-benar melakukan kesalahan.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, penjelasan Abdul Hadi sebelum ini menyatakan kesediaan PAS untuk menyiasat semua skandal negara sekiranya berjaya memerintah Malaysia.

"Dia bagitahu kalau kita memerintah kita akan siasat semua. 1MDB, kemudian kes Forex Exchange semua itu kita akan siasat.

"Tapi sekarang ini kita nak buat apa sebab kita tak ada kuasa. Sebelum ada bukti yang jelas kita boleh buat andaian macam-macam dalam kes itu kes ini.

"Tetapi tiada bukti yang jelas macam mana kita nak tuduh, sebab perkara ini isu yang besar. Tuduhan-tuduhan mesti ada fakta. Jadi sikap kita jelas," ujarnya.


 

Lihat Komen
ADS