Terjemahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meluluskan segera permohonan mendapatkan permit penerbitan bagi akhbar parti itu, Suara Keadilan.

Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, permohonan itu telah dihantar kepada Unit Penerbitan Kementerian Dalam Negeri lima bulan lalu. Abdulah juga memegang jawatan Menteri Dalam Negeri..

"Sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang, PKR berhak untuk menerbitkan akhbar sendiri dua kali sebulan, sebagaimana jaminan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 2 Mac 2000," tegas Dr Wan Azizah dalam surat yang dihantar kepada pejabat Perdana Menteri pagi tadi.

"Kami berharap perkara ini akan diberikan perhatian dan kelulusan akan diperolehi segera."

Dr Wan Azizah berkata, tiada sebab mengapa kelulusan itu ditangguhkan kerana PKR telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

'Pengedar diganggu'

Dalam surat tersebut beliau turut mendakwa, pencetak dan penjual akhbar suara rasmi PKR itu diganggu oleh pegawai penguatkuasa KDN.

"Sepatutnya tindakan seperti itu tidak berlaku dalam sebuah negara yang merdeka dan demokrasi," ujar beliau.

PKR cuba mendapatkan permit penerbitan apabila kementerian berkenaan menolak permohonannya untuk membaharui dan memindahkan permit akhbar Suara PRM, kepada Suara Keadilan. Suara PRM adalah lidah rasmi Parti Rakyat Malaysia (PRM).

PRM telah bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk membentuk PKR pada Ogos 2003. Kementerian berkenaan telah mengarahkan PKR supaya membuat permohonan baru di bawah nama PKR.

Pada tahun 1999, kementerian yang sama membenarkan PRM menukar nama akhbarnya daripada Mimbar Sosialis kepada Suara PRM tanpa perlu mengemukakan permohonan baru.

Sementara itu Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula mengesa Abdullah mengarahkan para pegawai kementeriannya supaya jangan mengganggu pencetak dan penjual Suara Keadilan.

"Pengedar dan penjual kami di Selangor, Johor, Malaka dan Kelantan telah diugut dan akhbar mereka dirampas, mengakibatkan mereka kerugian beribu-ribu ringgit," katanya dalam sidang akhbar di Brickfields, Kuala Lumpur pagi tadi./ Berita asal