Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Untuk sekian lama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan pemimpin DAP bertukar hujah dan tidak kurang juga kecaman berhubung skandal syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Mereka berdua juga saling cabar-mencabar untuk berdebat tetapi atas sebab tertentu ia tidak pernah berlaku.

Malah ketika Pua melaungkan cabaran pertama pada Ogos 2015, Datuk Seri Salleh Said Keruak selaku menteri Komunikasi dan Multimedia menawarkan untuk menyiarkannya secara langsung.

Arul Kanda setuju untuk berdebat namun pertembungan yang pastinya menarik itu dihalang speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pandikar ketika itu bertegas untuk menghalang program seumpama itu ketika siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) sedang berjalan.

Pandikar juga mendesak Pua untuk berundur daripada PAC jika meneruskannya.

Lapan bulan selepas siasatan PAC selesai, Pua sekali lagi membuat cabaran sama kepada Arul Kanda yang segera bersetuju.

Namun sebulan kemudian Arul menarik diri atas sebab mahu memberi tumpuan terhadap pertikaian 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dn siasatan polis susulan laporan PAC.

Hampir dua tahun kemudian, tiada perkembangan dalam siasatan polis. Dalam isu IPIC pula, 1MDB telah membuat bayaran terakhir pada Disember lalu.

Dengan keadaan yang kian reda, sekurang-kurangnya di dalam negara, adakah Arul Kanda akhirnya sedia untuk berdebat?

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, beliau menegaskan sama sekali tidak takut untuk berdebat dengan Pua.

"Anda tahu latar belakang saya. Saya ada latar belakang perundangan dan perakaunan, saya pendebat di sekolah dan saya fikir telah menjawab soalan anda yang sukar dengan baik.

"Jadi saya tidak takut untuk berdebat dengan Pua atau sesiapa saja. Saya lebih daripada mampu untuk melakukannya," katanya.

'Dia politik, saya korporat'

Arul Kanda bagaimanapun membayangkan beliau tidak akan lagi menyahut cabaran itu.

"Mari kita lihat niat orang yang mahu berdebat. Tony Pua seorang ahli politik. Saya bukan ahli politik, maka beliau tidak perlu berdebat dengan saya. Saya orang korporat, memberi penjelasan daripada perspektif syarikat.

"Beliau berniat politik, saya pula mahu memberi penjelasan daripada surut syarikat. Saya tiada keperluan untu beri masa dan publisiti percuma kepadanya. Beliau boleh mencari publisiti dengan cara lain," katanya.

Buat masa ini, beliau memaklumkan sedang membuat jelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan tentang isu 1MDB, menjelang PRU ke-14.

Ketika ditanya sama ada pembangkang seperti Pua dibenarkan untuk hadir ke program itu, Arul mengalu-alukannya dengan syarat mereka tiada niat tersembunyi.

Bahagian 1: Arul Kanda: Jerayawara 1MDB dorong DAP lancarkan 'bazooka'

Bahagian 2: Misteri 'unit dana' 1MDB selepas tiga tahun

Bahagian 3: Pinjaman Deustche Bank oleh 1MDB yang penuh tanda tanya

Laporan berkaitan: Saman DOJ: Dakwaan rompakan berbilion ringgit 1MDB

Lihat Komen
ADS