Terjemahan Keluarga 70 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyampaikan perutusan takziah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berikutan kematian isterinya Khamis lalu "kerana mereka juga dapat merasai bagaimana perasaannya apabila terpisah dengan orang tersayang".

Sepertimana yang dirasai oleh rakyat seluruh negara, mereka juga turut bersedih dengan pemergian Datin Seri Endon Mahmood, demikian menurut surat terbuka bertarikh 21 Oktober yang ditandatangani oleh Norliza Othman, isteri tahanan ISA, Mat Sah Mohd Satray.

Beliau menulis surat tersebut bagi pihak keluarga tahanan ISA yang lain.

Katanya, sebagai isteri dan anggota keluarga tahanan ISA yang sudah empat tahun terpisah, mereka juga dapat merasai keperitan dan rasa kehilangan Abdullah berikutan kematian isterinya yang tersayang.

Beliau juga menggesa Abdullah supaya membebaskan semua tahanan ISA.

Norliza berkata, Abdullah boleh menggunakan kuasanya sebagai menteri dalam negeri untuk berbuat demikian, terutama dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

"Permintaan kami hanya satu: supaya suami kami yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan JI (Jemaah Islamiah) dan KMM (Kumpulan Militan Malaysia) dibebaskan," tambahnya.

Antara tahanan ISA itu ialah Nik Adli, anak lelaki Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menunggu penuh debaran

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Noh Syed Ibrahim berkata, 61 tahanan terbabit kini berdebar-debar untuk mengetahui sama ada perintah lanjutan tahanan terhadap mereka, yang akan berakhir hujung bulan ini, akan dilanjutkan lagi.

"Tentulah mereka mengharapkan agar perintah tahanan mereka tidak dilanjutkan lagi, sepertimana tahanan sembilan tahanan yang disyaki anggota KMM yang dilanjutkan sehingga tahun 2007," katanya ketika dihubungi.

"Seperti yang kami tegaskan berulangkali, tuduhan terhadap mereka masih belum terbukti dan oleh itu kami menggesa pihak berkuasa supaya mendakwa mereka di mahkamah atau bebaskan mereka tanpa syarat," katanya.

Pada September 2001, sembilan orang yang disyaki anggota KMM ditahan di bawah ISA kerana dituduh terbabit dalam aktiviti militan yang boleh mengancam keselamatan negara./ Berita asal