Bila perut kenyang, rakyat jadi leka...
Selepas 18 tahun berlalunya gerakan penahanan besar-besaran tokoh politik, ahli akademik, pemimpin pelajar dan aktivis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dalam Operasi Lalang, usaha untuk memansuhkan akta tersebut masih gagal.
Selepas 18 tahun berlalunya gerakan penahanan besar-besaran tokoh politik, ahli akademik, pemimpin pelajar dan aktivis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dalam Operasi Lalang, usaha untuk memansuhkan akta tersebut masih gagal.
Mengapa? Adakah rakyat Malaysia merestui penahanan dan penderaan yang dilakukan tanpa bicara itu?
Apabila diajukan soalan ini pada bekas tahanan ISA yang kini menjadi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, beliau berkata, ini kerana rakyat Malaysia berasa selesa dan tidak mempunyai daya tahan untuk menekan kerajaan memansuhkan akta tersebut.
"Kerajaan memahami sifat semula jadi manusia. Apabila perut kenyang dan diberikan hiburan maka mereka akan diam," kata Lim.
Menurut beliau, keadaan yang sama berlaku di Singapura, walaupun rakyatnya berpelajaran tinggi namun mereka akur dengan semua tindakan kerajaan negara itu.
Lim yakin majoriti senyap menentang ISA namun untuk menentangnya secara terbuka bukan keutamaan mereka.
"Ya... memang ramai mengakui dan sedar mengenai ISA tetapi mereka berpendapat ada perkara lain yang lebih penting untuk difikirkan umpamanya mata pencarian atau masa depan anak-anak. Jadi mereka tidak bersedia memperjuangkan perkara itu secara serius.," jelas beliau.
Lim bagaimanapun berpendapat, walau macam mana lemahnya sokongan masyarakat terhadap usaha memansuhkan ISA, pergerakan anti-ISA tidak perlu berputus asa. Kempen perlu digerakkan untuk membangkkitkan kesedaran awam.
"Kita mesti semarakkan bahang hak asasi manusia itu....apabila tiba masanya nanti, kita sudah mempunyai aktivis kelas menengah yang sanggup sama berjuang menghapuskan akta tidak berperi kemanusiaan itu," tegas beliau lagi.
Prespektif Melayu
Lim berkata, gerakan anti-ISA setakat ini telah mencapai kejayaan kerana telah berjaya menarik komuniti Melayu dalam kerja lobi-melobi.
"Sebelum ini kempen memansuhkan ISA lebih banyak digerakkan oleh komuniti Cina kerana tidak ramai orang Melayu ditahan di bawah ISA. Tetapi keadaan sudah berubah, ramai pemimpin agama dari kalangan orang Melayu ditahan. Ini menyebabkan orang Melayu mula memberi lebih perhatian kepada ISA," katanya.
Presiden Gerakan Anti-ISA (AIM) Syed Ibrahim Syed Noh mengakui penahanan rakannya, Saari Sungib di bawah ISA telah mendorongnya melibatkan diri dalam propgram tersebut.
"Malah sebelum ini saya tidak tahu menahu tentang Operasi Lalang kerana ketika operasi itu dilakukan saya sedang menuntut di luar negara, " katanya sambil mengakui maklumat dan komunikasi menerusi Internet telah memudahkan penyebaran berita ke seluruh dunia.
"Saya hanya tahu mengenai Operasi Lalang lama selepas itu. Tetapi yang menyentak saya hingga melibatkan diri dalam AIM ialah penahanan Saari. Saari adalah Presiden Jemaah Islah Malaysia yang saya menjadi naib presidennya sekarang," jelas Syed Ibrahim.
Syed Ibrahim menjadi semakin aktif dalam gerakan ini apabila bapa saudaranya ditahan di bawah akta tersebut kerana disyakli terbabit dalam kegiatan ketenteraan.
Bagaimanapun gerakan anti-Isa ini menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dalam menyebarkan maklumat mengenai akta tersebut ke seluruh negara.
"Keadaan menjadi lebih buruk apabila semua akhbar serta stesen televisyen dikuasai oleh kerajaan.
"Gerakan kami bersaing dengan dasar kerajaan sedangkan bagi kerajaan ISA adalah alat yang berkesan untuk menjaga keselamatan negara. Adakah kami juga menjadi ancaman kepada kerajaan?" soalnya.
Bagi menghadapi segala halangan itu, AIM telah menggunakan pelbagai cara yang kreatif untuk menyebarkan maklumatnya. Umpamanya mengunakan sepenuhnya perjumpaan dengan Suhakam serta mengeluarkan kenyataan akhbar menerusi media alternatif seperti malaysiakini, Harakah serta akhbar-akhbar Cina.
Sandiwara ISA
AIM juga mendapati penyebaran maklumat ISA melalui teater juga amat berkesan.
" Drama arahan bekas tahanan ISA, Hishamuddin Rais yang berdasarkan kisah benar bekas-bekas tahanan ISA mendapat sambutan baik. Kami baru selesai mementaskannya ke seluruh negara baru-baru ini," katanya.
Syed Ibrahim mengakui perjuangan untuk menyedarkan rakyat tentang ancaman ISA menjadi lebih sukar sekarang kerana masyarakat sekarang lebih mengutamakan kedudukan ekonomi mereka.
Menurutnya, kerajaan telah berjaya memberikan gambaran palsu tentang keselamatan dan keganasan hingga rakyat
tidak mempedulikan soal hak asasi manusia, rasuah dan penyelewengan.
AIM bagaimanapun bernasih baik kerana aktiviti lobi melobinya mendapat sokongan beberapa orang peguam hak asasi manusia.
Peguam muda, Amer Hamzah Arshad umpamanya amat komited dengan gerakan ini. Menurutnya, seseorang itu tidak perlu menunggu ahli keluarga atau rakannya ditahan di bawah ISA baru mahu turut berjuang memansuhkan akta tersebut.
Amer berada dalam tingkatan dua ketika Operasi Lalang dilakukan. Tiada ahli keluarga atau rakannya ditahan tetapi dia menyertai gerakan AIM kerana melihatnya dari aspek hak asasi manusia.
"Saya tertarik dengan gerakan hak asasi manusia ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di UK," jelasnya.
Ketika ini hanya kira-kira lapan dari kira-kira 8,000 peguam di Kuala Lumpur dan Selangor mengambil kes-kes berkaitan hak asasi manusia.
"Tidak ramai peguam bersedia menberima kes berkaitan hak asasi manusia kerana mereka tidak boleh buat untung dari kes-kes berkenaan. Bayaran guamannya tidak banyak sedangkan banyak masa dan penyelidikan perlu dibuat," tambahnya.
Menurut Amer, perjalanan ke kem tahanan Kamunting sahaja mengambil masa beberapa jam dan kerja menemuduga tahanan akan sampai ke petang.
Menjelang malam baru boleh balik ke Kuala Lumpur. Oleh itu, bagi sesetengah peguam ini adalah kerja yang tidak produktif.
Bagaimanapun bagi Amer, mewakili orang tahanan ISA adalah pembuka mata yang amat berguna kerana dapat melihat dan berkongsi pengalaman dan cerita dengan mereka. / Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.