Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS mencadangkan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang di Perak - suatu idea yang sudah diuar-uarkan pemimpin parti itu sebelum ini.

Kerajaan itu, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan melibatkan parti-parti politik yang memenangi kerusi, iaitu Pakatan Harapan, BN dan PAS.

Bagaimanapun Abdul Hadi meletakkan tiga syarat untuk merealisasikan cadangan berkenaan.

Pertama menurut anggota parlimen Marang itu, menteri besar Perak mestilah beragama Islam dan ia dipersetujui oleh majoriti anggota dewan undangan negeri (ADUN) di Perak.

"Exco kerajaan negeri pula mestilah majoritinya daripada kalangan ADUN beragama Islam," katanya.

Kenyataan itu dibacakan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Keputusan itu dicapai dalam mMesyuarat Jawatankuasa Pusat Pusat yang berlangsung selama hampir tiga jam di Rusila, Marang hari ini.

DUN Perak masih berdepan ketidaktentuan ekoran kemenangan yang dicapai oleh BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) serta PAS pada 9 Mei lalu.

Kira kingmaker juga

DUN Perak mempunyai 59 kerusi. Daripada jumlah itu HARAPAN menguasai 29 kerusi, manakala BN 27. PAS yang mencadangkan kerajaan tanpa pembangkang dan meletakkan syarat berkenaan pula hanya ada tiga kerusi.

Dalam keadaan sekarang HARAPAN sepatutnya menguasai DUN Perak dengan jumlah kerusi yang dimiliki. Bagaimanapun mereka kekurangan 1 kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

BN pula boleh mengatasinya jika mendapat kerjasama daripada PAS.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata HARAPAN dan BN di Perak harus menimbang tawaran mereka bagi mengelak pilihan raya negeri diadakan.

“Kami hanya boleh bersetuju dengan kerajaan perpaduan, kalau tidak kita tidak akan menyertai pembangkang dan ini saja pilihan yang ada pada PAS.

“Kini terpulang kepada mereka (HARAPAN dan BN).

"Jika kerajaan negeri tidak dapat ditubuhkan dalam tempoh tertentu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengarahkan pilihan raya negeri Perak (diadakan),” katanya.

Tambah Takiyuddin, PAS sendiri mengakui tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri.

“Di peringkat PAS sendiri kita tak boleh tubuhkan kerajaan dan dalam erti kata lain, kita adalah kingmaker lah,” katanya mengakhiri sidang media petang ini.

Lihat Komen
ADS