Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abu Kassim: Tun tanya, saya jawab
Diterbitkan:  May 17, 2018 12:50 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Dikaitkan dengan kedudukannya dalam kerajaan serta isu panas yang pernah terpalit padanya bekas bos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaliknya meminta orang ramai bersabar.

Kata Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebarang pengumuman mengenai isu yang berlegar di sekitar kerajaan sekarang perlu datang daripada perdana menteri.

"Let the PM makes all announcement (biarkan perdana menteri yang buat semua pengumuman)," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Nama Abu Kassim adalah antara yang disebut-sebut bakal menerajui SPRM sekali lagi selepas penyandangnya sebelum ini meletakkan jawatan.

Namun bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu memberitahu sedikit apa yang terjadi ketika beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad selama kira-kira sejam di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

"Tun (Dr Mahathir) tanya beberapa soalan, saya jawablah. (Ia mengenai) perkara berkaitan yang Tun nak tahu.

"Saya menyatakan saya punya pandangan mengenai perkara tertentu," katanya.

Abu Kassim meninggalkan SPRM pada Ogos 2016 ketika agensi antirasuah itu 'panas' dengan siasatan skandal anak syarikat 1MDB, iaitu SRC International.

Beberapa pengarah SPRM juga ditukarkan ke jabatan lain, termasuk ada antaranya dipindahkan serta-merta.

Bagaimanapun SPRM menjelaskan Abu Kassim tidak diberi tekanan oleh mana-mana pihak supaya melepaskan jawatannya itu.


Baca 'Demi Allah, saya akan cari dalang ke lubang cacing'


Malah kata SPRM Abu Kassim sudah tiga kali memohon supaya tempoh kontrak perkhidmatannya ditamatkan lebih awal. Beliau sepatutnya bertugas sehingga 4 Disember 2018.

Bagaimanapun sumber memberitahu Malaysiakini ada tekanan datang dari Pejabat Perdana Menteri ketika itu supaya beliau mengosongkan jawatannya.

Turut terkena tempias ialah timbalan Abu Kassim, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Selepas Pakatan Harapan memperoleh mandat menjadi kerajaan, antara keutamaan Dr Mahathir ialah menyiasat skandal 1MDB yang dikaitkan secara langsung dengan anggota parlimen pembangkang, Datuk Seri Najib Razak.

Najib ialah perdana menteri Malaysia sehinggalah 9 Mei lalu. Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini Tan Sri Dzulkifli Ahmad sudah meletak jawatan pada 14 Mei lalu.

Kedua-dua mereka juga dilarang meninggalkan negara ini.

Selain Abu Kassim satu lagi nama yang mungkin kembali ke SPRM ialah Mohd Shukri.

Lihat Komen
ADS