Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Selepas lebih seminggu mencatat sejarah pada PRU14, saya kira tak perlu lagi saya mengucapkan tahniah kepada para pendukung dan pimpinan Pakatan Harapan yang berjaya menawan Putrajaya kerana tentunya ratusan ribu rakyat dalam dan luar negara telah menyuarakan perkara itu.

Saya juga berpandangan keputusan pilihan raya umum yang lalu adalah yang terbaik, serta paling adil dan saksama buat para pengundi di semua tempat.

Lebih mengujakan, pejuang reformasi nombor wahid negara Saudara Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta dan diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong,

Ini dibuat sebagai mengotakan janji pimpinan Pakatan Harapan.

Ketika bermula gelombang reformasi di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid Negara dan Pasar Seni di ibu kota pada tahun 1998, saya langsung tidak dapat menjangka episod yang indah ini.

Akal saya tidak mampu membuat unjuran bahawa Tun Mahathir Mohamad dan para penggerak reformasi terdiri dari Dr Wan Azizah Ismail, Tian Chua dan Azmin Ali serta Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang bakal membuka lembaran baharu buat negara kita.

Benarlah kata pepatah “ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu jua”.

Ucapan Saudara Anwar Ibrahim di majlis iftar di kediaman di Bukit Segambut Dalam tempoh hari benar-benar menyemarakkan kembali semangat yang saya pernah rasai kira-kira 20 tahun lalu.

Seperti kata Saudara Anwar, rakyat Malaysia secara amnya dari Cherok To’ Kun ke Puncak Borneo menagih pembaharuan - setelah hampir 61 tahun bawah pemerintahan Perikatan dan BN.

Kini, pendakwaan harus dibuat ke atas pemimpin-pemimpin negara yang gagal memainkan peranan secara “Bersih, Cekap dan Amanah” dalam mengurus kekayaan negara.

Ada di kalangan mereka yang ternyata gagal menjayakan “Kempen Kepimpinan Melalui Teladan” dengan bermewah-mewah ketika rakyat marhaen disyorkan berbelanja secara berhemah.

Namun, jangan pula dijadikan kerja-kerja membongkar bukti dan melakukan pendakwaan terhadap mereka sebagai agenda mengalih tumpuan daripada hasrat melaksana reformasi secara sepenuhnya.

Pertama, pemusatan kuasa pihak yang memerintah perlu ditamatkan.

Kedua, amalan menggunakan ugutan untuk mendapatkan kesetiaan dan ketaatan perlu dihentikan.

Ketiga, ekonomi negara tidak harus dijadikan alat untuk kelompok tertentu memperkayakan diri sendiri.

Keempat, jentera kerajaan dan sistem politik perlu berperanan membela rakyat dan bukan sebagai alat yang dipergunakan.

Politik usang

Kelima, undang-undang yang mengetepikan kebertanggungjawaban kerajaan perlu dipinda untuk memastikan ketelusan.

Keeenam, ekonomi Malaysia harus berfungsi dengan licin dan efisien.

Ketujuh, sentimen perkauman dan menakut-nakutkan rakyat perlu dikuburkan.

Seterusnya, rakyat Malaysia perlu bersedia melaksanakan perubahan diri agar dapat meninggalkan budaya politik usang serta lapuk.

Saya pasti ini semua terkandung dalam agenda reformasi Saudara Anwar sendiri demi mewujudkan masyarakat Malaysia yang adil, efisien, penyayang, berdaya saing dan yakin menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa.

Seandainya hasrat reformasi tersebut mampu dilaksana, barulah rakyat marhaen seperti saya dapat menghirup udara segar kemenangan sebenar dan tidak hanya meraikan kejayaan menumbangkan kleptokrasi, yang dikhuatiri akan berganti dengan oligarki.


Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS