Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Minat Rafizi pada Terengganu, bukan jawatan kerajaan
Diterbitkan:  May 21, 2018 3:55 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Walaupun memainkan peranan besar membongkar satu demi satu skandal dalam kerajaan BN, Rafizi Ramli nampaknya tidak berminat dengan sebarang jawatan selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya menguasai Putrajaya pada 9 Mei lalu.

Sebaliknya naib presiden PKR berkenaan membayangkan rancangan baru yang akan dilaksanakannya - menyasarkan Terenganu.

Dalam siri ciapan di Twitter hari ini Rafizi berkata dia tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan persekutuan.

"Sebagai ahli politik saya akan memberi tumpuan untuk Pakatan Harapan memenangi Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak akan mengambil sebarang peranan dalam kerajaan buat masa ini," ciapnya.

Rafizi - yang sebelum ini menjadi anggota parlimen Pandan - adalah orang yang bertanggjawab membongkar pelbagai isu berkaitan kerajaan serta pemimpin Umno.

Antaranya ialah mengenai projek National Feedlot Corp Sdn Bhd (NFC) dan 1MDB.

Dia juga sudah disabitkan atas kesalahan melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) bersama bekas kerani, Johari Mohamad.

Kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara 30 bulan.

 

 

Dalam PRU ke-14 lalu HARAPAN berjaya membentuk kerajaan persekutuan, namun gagal menguasai empat negeri di semenanjung.

Selain Perlis dan Pahang yang dikuasai BN, PAS pula menawan Terengganu serta mengekalkan kedudukan mereka di Kelantan. HARAPAN juga gagal memenangi sebarang kerusi di kedua-dua negeri Pantai Timur berkenaan.

Sebelum itu Rafizi - anak kelahiran Terengganu - ditanya mengenai kedudukan Invoke Malaysia yang diasas dan diterajuinya.

Kata Rafizi pertubuhan itu akan memberi fokus kepada usaha "memperkasa Malaysia."

Seorang pengguna Twitter pula berkata Rafizi layak mengetuai Biro Pengaduan Awam iaitu badan kerajaan yang menguruskan masalah orang ramai.

Namun kata Rafizi ada orang lain yang lebih sesuai untuk mengisi jawatan tersebut.

"Saya minta maaf. Sukar untuk melakukan apa yang saya buat semasa saya jadi pembangkang, namun ia dilaksanakan kerana memang satu keperluan.

"Sekarang HARAPAN sudah menjadi kerajaan dan ada ramai orang boleh dan mahu menjadi menteri," ciapnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS