Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hati-hati buat tuduhan, nasihat Najib pada Guan Eng
Diterbitkan:  Jun 5, 2018 11:18 PM
Dikemaskini: 3:25 PM

Datuk Seri Najib menasihati kerajaan agar bersikap lebih berhati-hati semasa membuat dakwaan yang dianggapnya bermotif politik.

Kata anggota pembangkang dari Pekan itu, langkah berkenaan menjadi lebih perlu apabila tuduhan yang dibuat turut melibatkan syarikat milik negara asing.

Menurut Najib tanpa sikap berhati-hati kerajaan mungkin mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia.

Sebelum itu bekas perdana menteri terbabit tampil menjelaskan mengenai proses perundingan dan pelaksanaan dua projek saluran paip seperti dibangkitkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng siang tadi.

"Berdasarkan kepada ingatan saya, saya yakin, semua prosedur dan proses perundangan telah dipatuhi berkaitan rundingan dan perlaksanaan dua projek saluran paip dibangkikan Lim Guan Eng hari ini," katanya.

Menurut Najib beliau juga mendapati Lim menyebut bahawa kesemua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) mengikut perjanjian, dan bukan kepada pihak-pihak lain.

Katanya CPPB ialah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki kerajaan China iaitu China National Petroleum Corporation.

China nak bantu pekebun Malaysia

"Kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomik dan menberi jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia telah dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan (government to government) dengan kerajaan China.

"Saya dan Perdana Menteri China, Li Keqiang, telah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kesefahaman (MOU) bagi projek saluran gas ini bersama beberapa projek lain ketika membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 14 Mei 2017," katanya.

Pada majlis yang sama, kata Najib, China turut memberikan komitmen untuk mengimport barangan bernilai AS$2 trilion dari Malaysia bagi tempoh lima tahun, selain membuat pelaburan sehingga AS$150 bilion di Malaysia.

China juga kata Najib menawarkan 10,000 tempat bagi latihan serta pendidikan untuk rakyat Malaysia di pelbagai institut di China.

"Tidak lupa pula komitmen daripada kerajaan China membantu pekebun kecil sawit di Malaysia dengan pembelian tambahan minyak sawit daripada kita," katanya.

Namun dengan isu yang dibangkitkan Lim hari ini, Najib berkata, beliau menyambut baik agar siasatan dijalankan tehadapnya.

"Saya mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap kedua-dua projek ini, namun kita perlu lebih berhati-hati membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia," katanya.


Baca Ada dokumen buktikan SSER terkait 1MDB, kata Guan Eng


Terdahulu Lim meminta penjelasan daripada Najib berhubung dakwaan wujud penyelewengandalam dua projek kerajaan bernilai RM9.41 bilion.

Kedua-dua projek itu ialah projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) di Melaka yang bernilai RM5.35 bilion dan Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) yang bernilai RM4.06 bilion.

Kata Lim kerja untuk kedua-dua projek itu bermula pada April tahun lalu.

Menurut Lim kerajaan BN membayar hampir 90 peratus daripada jumlah projek berkenaan, tetapi hanya 13 peratus daripada kedua-dua projek itu disiapkan.

"Jumlah wang yang dibayar adalah sebanyak RM8.25 bilion iaitu merupakan 87.7 peratus daripada jumlah nilai projek.

“Ini di sebalik kadar purata projek yang disiapkan hanya 13 peratus dengan kontrak dua tahun lagi,” katanya.

Projek-projek tersebut menurut Lim dilaksanakan oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER), sebuah anak syarikat milik penuh kementerian kewangan yang ditubuhkan pada 19 Mei 2016, khusus untuk projek berkenaan.

Lihat Komen
ADS