Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kula akan jumpa IGP bincang pencarian anak Indira Gandhi

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran akan bertemu dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk mempercepatkan proses pencarian anak perempuan bongsu M Indira Gandhi yang gagal diserahkan oleh bekas suaminya.

Kulasegaran, bekas peguam wanita itu, berkata telah memerintahkan Muhammad Riduan Abdullah menyerahkan Prasana Diksa kepada bekas isterinya itu selain mahkamah memerintahkan lelaki, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, ditangkap kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi.

“Saya akan berjumpa Mohamad Fuzi tidak lama lagi untuk melihat bagaimana saya boleh mempercepatkan proses untuk mencari anak perempuan Indira.

“Terdapat  beberapa kesukaran (mencari Muhammad Riduan) tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mencapainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun tokoh kemerdekaan Tun VT Sambanthan ke-99, hari ini.

Mohamad Fuzi,  dalam kenyataannya pada 29 Jan lalu, memberitahu usaha mengesan dan menahan Muhammad Riduan masih berterusan  sejak 2014 berdasarkan waran untuk pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Pada 29 Jan lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Ketiga-tiga anak pasangan itu iaitu dua perempuan dan seorang lelaki kini berusia 20, 19, dan sembilan tahun. Muhammad Riduan, 47, telah menukar agama anak-anak mereka kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi, selepas dia memeluk Islam.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Muhammad Riduan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS