Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 lagi jenama sardin ditarik balik dari pasaran

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin dari pasaran kerana disahkan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam produk ikan sardin tersebut ialah daripada jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

Beliau berkata KKM juga mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara.

“Tahan, Uji dan Lepas merupakan tindakan di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pelanggaran dikesan iaitu dalam hal ini cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

“Sementara bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluaran dijalankan oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan risiko kepada kesihatan bagi produk ikan dalam tin amat rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.

Katanya Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak terlibat dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pengguna mempunyai kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.

- Bernama

Lihat Komen
ADS