Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li: 1987 dulu lawan bapak gergasi, 2018 lain

WAWANCARA | Bangunan agam digelar White House itu tidak banyak berubah sejak lama dulu. Sebuah ruang besar di sisi kirinya mengingatkan bagaimana suatu ketika dulu ia pernah menjadi tempat bangkitnya satu kumpulan dalam Umno mahu mencabar kedudukan seorang presiden.

Kira-kira 31 tahun kemudian rumah agam itu sekali lagi menjadi tumpuan ramai - walaupun jumlah orang yang datang bertandang tidak seperti waktu itu.

Susuk yang ada di rumah merangkap pejabat itulah yang menjadi perhatian utama. Anak Kelantan bernama Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada 1987 beliau bersama sekumpulan pemimpin kanan Umno - digelar Team B - menggerakkan kempen mahu mengetepikan presiden ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kini - pada 2018 - Tengku Razaleigh sekali lagi meletakkan dirinya dalam persaingan kerusi tertinggi parti.

Ditanya perasaannya menyertai persaingan sengit itu sekali lagi, beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li berkata, ia adalah dua keadaan yang sangat berbeza.

"Bezanya, dua orang yang saya lawan sekarang ini jauh lebih berbeza dari yang saya lawan dulu.

"Yang saya lawan dulu bapak gergasi. Dia ada kuasa, perdana menteri dah enam tahun dan sebelum itu timbalan perdana menteri lima setengah tahun, menjadi timbalan presiden enam tahun, berkuku besi, berkuasa penuh atas kerajaan dan dia tak teragak-agak menggunakan kedudukan dan kuasa dia.

"Dan terbukti dia menggunakannya, dan kita tengok tidak ada siapa yang kekal bersama atau di bawah dia," katanya dengan pajang lebar dan jelas enggan memetik sebarang nama individu yang dimaksudkannya.

Pulihkan kerosakan teruk

Dalam temu bual bersama Malaysiakini semalam, anggota parlimen Gua Musang itu menjelaskan, persaingan kali ini - yang menyaksikan beliau serta empat yang lain cuba mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak - tidak boleh dibandingkan dengan suasana 1987.

"Lebih-lebih lagi sekarang saya dah berumur. Dulu saya muda sikit, sekarang dah berumur, dan kelebihannya kepada yang muda, tetapi (jangan lupa) tapi saya ada pasukan yang muda (di belakang)," katanya.

Jika diberi kepercayaan oleh anggota Umno dalam pemilihan esok, Tengku Razaleigh juga berazam untuk membawa nafas baru kepada parti berkenaan.

Semasa berkempen Tengku Razaleigh juga bercakap mengenai perlunya Umno dibawa ke arah lain bagi memulihkannya selepas kecundang kepada Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu.

Menegaskan tiada cacat cela pada parti beliau berkata perubahan hanya perlu dibuat pada struktur serta memulihkan kredibiliti yang rosak teruk sebelum ini.

"Kita tidak ada kredibiliti, kita tidak ada integriti dan perlu melakukan pembersihan.

"Apa makna pembersihan itu - terpulang kepada perterjemahan yang akan dibuat oleh perwakilan mengikut pemahaman mereka, dan kalau mereka faham maksud pembersihan itu.

'Kalau pembersihan bererti kamu tak mahu lagi orang yang tidak ada integriti atau tidak bersih dari segi kewangan, jadi orang begitu tidak dipilihlah.

"Kalau mereka tidak mahu memilih (saya), saya tidak berkuasa kerana saya hanya ada satu undi (sebagai perwakilan)," katanya.


Baca Langkah Dr M dorong Ku Li bertanding pada usia 81


Namun mengikut perancangan yang ada Tengku Razaleigh dilihat mahu memberi lebih banyak ruang kepada amalan kebebasan bersuara.

"Ini saya rasa peluang yang kita perlu perbaiki, sebab sejak 25 tahun dulu, orang nak berucap di perhimpunan agung Umno pun harus disahkan oleh majlis tertinggi, begitu juga skripnya," kata beliau.

Dalam keadaan begitu menurut Tengku Razaleigh, kebebasan di kedai kopi adalah lebih luas kerana orang ramai boleh mengutarakan pandangan masing-masing tanpa perlu mendapat lampu hijau sesiapa.

Ditanya sekali lagi sama ada ruang kebebasan bersuara dalam Umno memang disekat, Tengku Razaleigh tidak teragak-agak menegaskannya sebelum menyebut nama itu: "Dah lama (sejak) 25 tahun lepas... Mahathirlah."

Menyertai pertandingan pada usia 81 tahun, Tengku Razaleigh kelihatan tidak terdesak untuk menang, sebaliknya cuma menawarkan diri bagi membantu parti yang dianggotainya sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Tengku Razaleigh juga ditanya bagaimana jika beliau gagal sekali lagi - seperti pernah terjadi pada 1987 - untuk menjadi presiden Umno.

"Kalau gagal lagi, saya bersaralah!" katanya sambil ketawa.

Temu bual ini turut disertai Kow Gah Chie, Lu Wei Hoong, Ahmad Amir Adzim dan Al-Abror Mohd Yusuf.

 

Wawancara 1: Ku Li ada cara bawa Umno kembali berkuasa sebelum 2023

Lihat Komen
ADS