Perkahwinan lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan sebelas tahun di Thailand yang menjadi perhatian ramai baru-baru ini tidak sah di sisi undang-undang negara itu.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof yang berjumpa dengan Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN).
"Sejurus selepas mendapat maklumat mengenai kes ini, saya mewakili Dewan Muslimat PAS Kelantan segera bertemu Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Baba Haji Syafie.
"Beliau memaklumkan perkahwinan yang dibuat di Golok, Selatan Thailand itu sebenarnya tanpa kebenaran MAIN. Beliau turut berkata undang-undang di sana tidak membenarkan perkahwinan melibatkan pasangan bawah umur," katanya dalam kenyataan semalam.
Kata Siti Zailah (gambar) lagi, MAIN berkata pihaknya tidak mendapat maklumat rasmi mahupun permohonan bagi pernikahan pasangan itu.

Terdahulu, tindakan Che Mohd Karim Che Hamid berkahwin dengan budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya mendapat perhatian, seterusnya kecaman, pelbagai pihak.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengatakan ia tidak sah dan mereka berdua mesti dipisahkan.
Mengikut enakmen keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum pernikahan bagi lelaki ialah 18 tahun manakala perempuan, 16 tahun.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang pula berkata Che Mohd Karim boleh didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.
Che Mohd Karim bagaimanapun berkata sedia berdepan tindakan undang-undang serta tidak akan berpisah dengan isterinya dan sedia menunggunya cukup umur sebelum tinggal bersama.

Sementara itu, Siti Zailah berkata PAS sedia membantu kanak-kanak perempuan itu - yang dilaporkan tidak bersekolah - dari aspek keadilan mahupun akses pendidikan.
Anggota parlimen Rantau Panjang itu juga menggesa isu tersebut diselesaikan secara baik oleh pihak berwajib agar dapat menghentikan polemik yang tercetus.
"Justeru kami menyambut baik siasatan awal oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAHEAIK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar kejadian sebegini tidak lagi berulang atau terlepas pandang.
"Kami juga menggesa masyarakat agar tidak menangguk di air keruh dengan menokok tambah kes ini dengan isu-isu yang tidak berkaitan sekaligus melakukan generalisasi terhadap semua kes perkahwinan di bawah umur," katanya.
