Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Budak perempuan pengantin baru mesti dipisahkan dari suami

Perkahwinan budak perempuan berumur 11 tahun di Kelantan adalah tidak sah dari segi undang-undang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata hal itu kerana perkahwinan tersebut tidak mendapat kelulusan mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewalikan anaknya, dan menjadi isteri kepada orang yang lebih tua, selain kerana budak itu masih di bawah umur.

“Perkahwinan itu tidak sah dan mereka mesti dipisahkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis jamuan tertutup Eksklusif Sambutan Aidilfitri Bersama 2,000 Anak Yatim Asnaf 2018 anjuran Insaf Malaysia di Stadium Mini Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Presiden Insaf Malaysia Ishak Abdul Kadir.

Mengikut enakmen keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum pernikahan bagi lelaki ialah 18 tahun manakala ­perempuan, 16 tahun.

Sekiranya mereka masih di bawah umur, perkahwinan itu hanya dibenarkan jika mendapat kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Kisah perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki 41 tahun itu tular sejak Jumaat dan mengundang reaksi pelbagai pihak.

Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak terbabit juga merupakan warganegara Thailand.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata usaha pegawai kementeriannya untuk menjejaki individu 41 tahun itu gagal apabila dia melarikan diri dan tidak dapat dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata kes perkahwinan tersebut perlu dilihat secara holistik sama ada terdapat unsur-unsur seperti pedofilia, eksploitasi kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.

Jelas Dr Wan Azizah lagi, sudah tiba masa untuk menaikkan had umur perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS