Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS menegaskan tiada sebarang akaun berkait parti itu dibekukan kerajaan meskipun pernah didakwa menerima dana sebanyak RM90 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini akaun parti itu tidak mengalami sebarang gangguan atau dibekukan.

"Setakat ini tidak ada (dibekukan), akaun kita tidak diganggu dan tidak diusik," katanya ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, kerajaan mengesahkan pembekuan 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat, parti politik dan NGO.

Pasukan Petugas Khas 1MDB berkata akaun yang dibekukan itu dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB.

Musuh politik PAS sebelum ini turut mendesak siasatan terhadap parti Islam itu kerana didakwa menerima RM90 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebahagiannya dikatakan merupakan wang 1MDB.

Ia susulan artikel dalam portal Sarawak Report pada Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima dana berkenaan sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap editor portal berkenaan, Clare Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu.

Pada awal Mei lalu, PAS mengumumkan kemenangan awal apabila mahkamah menolak 50 daripada 55 muka surat penyataan pembelaan oleh Brown.

Akta pembiayaan politik

Sementara itu, Tuan Ibrahim menegaskan pihaknya akan menggesa kerajaan segera memperkenalkan Akta Kawalan Dana Politik dan Politik Wang seperti yang dicadangkan PAS sebelum ini.

Katanya, setakat ini tiada sebarangan akta yang mengawal dana-dana parti politik dan sumbernya.

Justeru itu beliau berkata PAS akan membawa semula semula perkara itu dalam sidang parlimen akan datang.

"Pertama parti-parti kena telus daripada sumber mana yang membiayai mereka.

"Kita tak mahu budaya lama. Jadi dia bukan dari wakil rakyat, wakil taukeh balak itu, taukeh ini yang membiayai (parti politik).

"Akhirnya, parti politik mendapat sumber yang dikhuatiri dan diragui selagi tidak ada ketelusan.

"Jadi dana parti politik mesti boleh diakses kepada semua orang untuk mengetahui sumbernya," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.

 

Lihat Komen
ADS