BERITA Malaysiakini

Dakwaan RM90 juta PAS kecurigaan meluas, kata S'wak Report

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown menjelaskan dakwaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menawarkan sebanyak RM90 juta kepada PAS adalah berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

Ini selepas Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man awal hari ini menyangkal dakwaan itu yang disiarkan dalam sebuah ulasan dalam Sarawak Report Sabtu lepas.

Bagaimanapun, Brown berkata, dia melaporkan kecurigaan seperti terkandung dalam laman web itu dan menegaskan dakwaan itu memang telah meluas.

"PAS tidak patut menyalahtafsirkan saya, walaupun mereka bukan ahli-ahli politik pertama yang mengecam perkara-perkara yang sebenarnya tidak seperti diperkatakan.

"Saya boleh memberi keterangan bahawa tanggapan itu memang meluas, sejak beberapa rakyat Malaysia bertalian rapat dengan orang ternama telah memerhatikan perkara ini kepada saya.

"Mengapa PAS bayangkan sebaliknya?

"Ia adalah apabila PAS tiba-tiba mesra kepada sebuah parti seperti Umno yang diketuai presiden 'King Of Cash' seperti ramai dalam PAS memberikan amaran.

"Najib dikenali dunia kerana korup dan telah membuat pembayaran jumlah yang besar kepada sekutu utama yang berbeza politik dengannya.

"Jadi sesiapa yang tiba-tiba menjadi rapat mesti menerima syak wasangka menyusul akan timbul," dia memberitahu Malaysiakini ketika dihubungi.

Beliau berkata, walaupun pemimpin PAS mungkin didorong oleh sebab agama, mereka telah 'menyekutukan' diri mereka dengan 'pencuri yang dikenali' .

Najib, yang berada tengah-tengah skandal 1MDB, secara konsisten menafikan salah laku dan sebelum ini dibebaskan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali.

Sarawak Report mendakwa di dalam ulasannya pada Sabtu:

"Dia (Najib) 'menarik' PAS jauh daripada pakatan pembangkang sama seperti cara biasa dilakukannya - RM90 juta didakwa secara meluas mengalir kepada pemimpin atasan PAS sejak beberapa bulan lalu."

Tuan Ibrahim berkata dakwaan bahawa pemimpin PAS telah menerima RM90 juta daripada Najib adalah palsu, dan parti itu bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas dakwaan tersebut.