MAS kaji naikkan tambang bagi atasi kemelut kewangan
Penerbangan Malaysia (MAS) sedang menimbang menaikkan kadar tambang secara menyeluruh sebagai satu daripada langkah bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi syarikat penerbangan nasional itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Douglas Uggah Embas berkata MAS bagaimanapun akan berhati-hati sebelum mengambil tindakan itu.
Penerbangan Malaysia (MAS) sedang menimbang menaikkan kadar tambang secara menyeluruh sebagai satu daripada langkah bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi syarikat penerbangan nasional itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Douglas Uggah Embas berkata MAS bagaimanapun akan berhati-hati sebelum mengambil tindakan itu.
"Ini termasuk mengambil kira kadar tambang oleh pesaingnya bagi memastikan tambang MAS adalah menarik kepada penumpang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2006 bagi Kementerian Pengangkutan peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, selain itu antara langkah lain yang akan diambil bagi mengatasi kemelut kewangan yang dihadapi syarikat itu ialah dengan menyusun semula kapasiti dan kekerapan operasinya.
"Ini melibatkan kajian terperinci kerana ia melibatkan operasi ke setiap destinasi dengan mengambilkira kos operasi," katanya.
Beliau berkata sebarang tindakan yang diambil untuk mengurangkan kekerapan penerbangan akan dibincang dengan kerajaan setelah mengambilkira kepentingan destinasi.
Dalam usaha mengatasi kerugian, beliau berkata MAS juga akan mengurangkan kos operasinya.
"MAS telah mula buat kajian secara menyeluruh bagi mengurangkan kos operasi di semua peringkat. Ini termasuk beberapa pendekatan baru dan cara mengurangkan kos operasi tanpa kesan negatif ke atas perkhidmatan kepada penumpang," katanya.
Kenaikan harga minyak
Douglas berkata MAS juga akan hanya melaksanakan projek penting yang boleh memberi pulangan positif.
Ia akan terus melaksanakan langkah stategik untuk meningkatkan kedudukan kewangannya termasuk meningkatkan pendapatan daripada perkhidmatan "ground handling" kepada syarikat penerbangan antarabangsa.
MAS juga katanya, akan meningkatkan penjualan pakej pelancongan, meningkatkan aktiviti penyelenggaraan kepada syarikat penerbangan serta memasarkan produk latihan MAS.
MAS turut merancang beberapa langkah bagi mengatasi masalah kenaikan harga minyak, katanya.
Terdahulu ketika perbahasan rang undang-undang itu, seorang penyokong kerajaan meminta MAS mencontohi Syarikat Penerbangan AirAsia dari segi pengurusan dan pentadbiran syarikat.
Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (BN-Arau) berkata walaupun AirAsia masih baru berbanding MAS dan diterajui warga tempatan, ia mampu beroperasi dengan baik dan meraih keuntungan.
Oleh itu beliau meminta MAS menilai sama ada perlu bagi syarikat itu terus mengambil perunding warga asing yang dibayar gaji tinggi sehingga RM250 ribu sebulan.

