Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rampasan Equanimity: Polis Indonesia masih runding AS

Pihak berkuasa Indonesia sekali lagi naik ke atas kapal mewah Equanimity dan cuba merampas aset tersebut selepas rampasan sebelumnya yang dijalankan pada bulan Februari telah diisytiharkan batal dan tidak sah atas alasan teknikal.

Daniel Silitonga, timbalan pengarah jenayah khas dan ekonomi di polis republik itu, memberitahu Malaysiakini proses penyitaan kedua masih dirundingkan pada peringkat kerajaan antara pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Indonesia.

"Kami (polis Indonesia) hanya pelaksana (keputusan apa pun), justeru kami menunggu keputusan perbincangan di antara kerajaan dengan kerajaan," kata Silitonga ketika dihubungi petang ini.

Pada masa yang sama, beliau juga mengesahkan kapal mewah itu masih berada di bawah pengawasan polis Indonesia sambil menunggu keputusan rasmi mengenai kepemilikannya.

Perkembangan terbaru itu mula-mula didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dalam pemfailan mahkamah bertarikh semalam, yang dilihat oleh Malaysiakini.

Dokumen itu menyebut Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa DOJ telah mengemukakan permintaan untuk bantuan kerjasama undang-undang (MLA) kepada Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia pada 19 April, yang dilaksanakan pada hampir dua bulan kemudian, pada 9 Julai lalu.

"Pada 9 Jul 2018 pihak berkuasa Indonesia melaksanakan proses itu dengan menaiki Equanimity bersama satu salinan waran tangkap.

"Semasa di dalam kapal pihak berkuasa menyerahkan satu salinan waran tangkap ke atas kapal layar, serta satu lagi salinan waran tangkap untuk kapten Equanimity," kata dokumen DOJ itu kepada Mahkamah Daerah California.

Langkah tersebut dibuat sebagai makluman kepada mahkamah bahawa waran tangkap yang mereka keluarkan pada 16 Jun tahun lalu sudah dilaksanakan.Pada dokumen tersebut turut disertakan gambar waran berkenaan diserahkan oleh polis Indonesia di atas kapal Equanimity.

Berdasarkan laporan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang turut dikemukakan kepada mahkamah, mereka dimaklumkan oleh polis Indonesia bahawa ketika waran itu diserah seorang peguam, turut ada bersama ialah kapten kapal tersebut.

"Polis Indonesia percaya bahawa peguam itu mewakili pemilik kapal persiaran berkenaan," kata laporan itu.

Peguam Andi F Simangunsong, salah seorang pasukan guaman yang bertindak bagi pihak pemilik berdaftar Equanimity, berkata mahkamah Indonesia perlu terlebih dahulu memberi kelulusan polis untuk mengeluarkan notis penyitaan rasmi terhadap kapal mewah tersebut.

"Setakat ini tidak ada kelulusan mahkamah dan ia (kehadiran pihak berkuasa pada 9 Julai) adalah hanya untuk menyerahkan dokumen ...," katanya kepada Malaysiakini.

DOJ telah membuat saman sivil melucutkan hak pemilikan terhadap kapal bernilai AS$ 250 juta itu pada 15 Jun tahun lepas. Ia menjadi sebahagian daripada siri 30 saman sivil yang bertujuan merampas harta yang didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB yang telah disalurkan melalui sistem kewangan AS.

'Rayuan pemilik Equanimity'

Ia juga mendakwa Equanimity dimiliki oleh ahli perniagaan Low Taek Jho melalui beberapa perantara. Jho Low sebelum ini mendakwa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik.

Pada 28 Februari 2018, pihak berkuasa Indonesia naik ke atas kapal dan merampas aset itu atas permintaan DOJ.

Bagaimanapun, Mahkamah Negeri Jakarta Selatan memutuskan penyitaan itu tidak sah kerana permintaan bantuan undang-undang bersama DOJ disalurkan langsung kepada pihak polis Indonesia, sedangkan undang-undang Indonesia mewajibkan permintaan MLA dilakukan melalui Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia.

Pada 15 Mei, Mahkamah Daerah California Tengah memutuskan memberi hak penjagaan perlindungan kepada DOJ ke atas Equanimity.

Peguam yang mewakili pemilik Equanimity, iaitu syarikat Equanimity (Cayman) Ltd telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan kes berkenaan masih menunggu di mahkamah rayuan AS.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS