Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Raja-raja Melayu berkenan tubuh jawatankuasa tertinggi institusi hal ehwal Islam

Raja-raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat persekutuan bagi tujuan penambahbaikan institusi Islam di peringkat persekutuan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata jawatankuasa tertinggi itu melibatkan lima anggota yang dipengerusikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan (Perak) Datuk Dr Afifi al-Akiti sebagai timbalan.

Tiga anggota lain adalah Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, Datuk Nooh Gadot dan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Kesemua mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan perkenan Raja-raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai lepas, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-249.

Syed Danial berkata fungsi jawatankuasa itu adalah bagi mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa serta keberkesanan agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman syariah di peringkat persekutuan.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja merupakan urus setia kepada jawatankuasa tertinggi tersebut.

Syed Danial berkata dalam menjalankan tugas-tugasnya, jawatankuasa tertinggi itu akan menerima memorandum dan juga akan berbincang dengan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk mereka yang sudi dan sukarela menyampaikan pendapat mereka.

“Penubuhan jawatankuasa tertinggi ini dilihat selari dengan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Usaha ini amat wajar kerana ia kekal menghormati prinsip dan bidang kuasa Raja-raja sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing, yang institusi agama terus ditambah baik demi mempertahankan Islam, di samping terus menyebarluaskan nilai-nilai kesejagatan Islam di negara ini,” katanya.

Hasil kajian jawatankuasa tertinggi itu akan dikemukakan kepada Majlis Raja-raja dengan cadangan penambahbaikan bagi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan, agar ia berada di atas landasan yang betul.

- Bernama

Lihat Komen
ADS