Tidak boleh terima kepelbagaian, Pemuda MCA saran Ridhuan Tee berhijrah
Pemuda MCA mempunyai cadangan buat Ridhuan Tee, akademik Muslim berbangsa Cina yang terkenal dengan pandangan pedih dan memecahbelahkan: berhijrah.
Malah, timbalan pengerusi sayap itu, Mike Chong Yew Chuan, sudah mempunyai destinasi dalam fikirannya - sesebuah tempat yang "penuh dengan kebencian, permusuhan, atau konflik", walaupun dia tidak menamakan mana-mana negara secara khusus.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/04/dc1d756669f5edcd70cae97f2f003ae7.jpg)
Lagipun, Chong mendakwa Ridhuan mungkin akhirnya "rasa selesa" di tempat sedemikian, memandangkan ketidakupayaannya untuk menerima kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia.
Chong turut melemparkan kritikan keras terhadap Ridhuan dengan menuduhnya menyemarakkan kebencian dan permusuhan, selain membongkar apa yang disifatkannya sebagai pemikiran sempit akademikus berkenaan.
"Jika Ridhuan merasakan dia tidak mampu hidup di Malaysia yang aman, harmoni, pelbagai dan inklusif, dia tidak perlu terus membiarkan dirinya berada dalam kesusahan ini.
"Pemuda MCA menasihatkannya agar melepaskan kewarganegaraan Malaysia secara sukarela dan berhijrah," katanya.
Cadangan pedas Chong itu dibuat bagi membalas tindakan Ridhuan yang menuduh pemimpin kerajaan bersikap hipokrit dan sekadar “wayang” apabila menghadiri majlis pengebumian Dr Siti Hasmah Ali.
Ridhuan, seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), mendakwa pihak yang meminggirkan isteri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semasa hayatnya tiba-tiba beria-ia menunjukkan kebaikan selepas kematian wanita itu.
"Apakah jenis pemikiran yang dimiliki Ridhuan sehingga memaksa dia mereka-reka permusuhan dan mencetuskan kebencian terhadap segala-galanya?" soalnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/05/de2a45504e844c360cd360e009ab65c1.jpg)
"Ini bukan kali pertama Ridhuan mengeluarkan kenyataan kontroversial. Baru-baru ini, celotehnya merangkumi tuduhan bahawa majalah dalam penerbangan Malaysia Airlines kekurangan penggunaan bahasa Melayu, mempertanyakan mengapa gegantung sambutan Perayaan Hantu Lapar hanya menggunakan tulisan Cina, dan menyifatkan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai 'produk komunisme'.
"Dia konsisten mengemudi isu-isu ke arah konfrontasi etnik, bahasa, dan identiti yang sebaliknya boleh dibincangkan secara rasional. Kini, majlis pengebumian pun boleh dijadikan saluran untuk kebenciannya," tambahnya.
Sambil menegaskan bahawa saat berkabung negara tidak sepatutnya dieksploitasi untuk mereka-reka kebencian, Chong menyamakan kata-kata dan tindakan Ridhuan seperti "seseorang yang berjalan membawa obor kebencian, menyemarakkan api secara melulu dalam pelbagai isu".
"Sebagai seorang akademik yang mempunyai pengaruh sosial, Ridhuan sepatutnya berhati-hati dengan kenyataan awamnya dan menghentikan taktik yang memecahbelahkan masyarakat serta mereka-reka permusuhan semata-mata untuk mengejar trafik web dan menunjuk-nunjuk.
“Dia patut berbuat demikian bukan sahaja demi rakyat Malaysia, tetapi juga demi kesejahteraan dan masa depan keturunannya sendiri," katanya.
/file/attachments/orphans/RSNRayerlodgedpolicereport2909262_319955.png)
Dua hari lalu, anggota parlimen DAP RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Ridhuan berhubung hantaran di media sosial, yang menurut anggota parlimen DAP itu mengandungi perkataan yang "menghina, menyindir dan memandang rendah" terhadap masyarakat Cina.
Laporan Rayer itu tertumpu kepada penggunaan istilah "ultra kiasu harbi" oleh Ridhuan, yang menyamakan tokoh politik bukan Islam sebagai "musuh Islam".
Sementara itu, Adun Kota Anggerik daripada PKR, Najwan Halimi turut menyuarakan pandangan dengan menyokong kritikan Pemuda MCA terhadap Ridhuan serta menuduh ahli akademikitu berulang kali mempromosikan pandangan yang memecahbelahkan kaum dan agama.
Najwan, yang juga ketua PKR Shah Alam, berkata pendirian sedemikian tidak mempunyai tempat di negara majmuk seperti Malaysia.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/02/ebaedd5a9f0571f007e6a32023bfe5c6.jpg)
“Kenyataan-kenyataan beliau langsung tidak mencerminkan mentaliti seorang ilmuan dan penganut Islam yang rasional dan beradab.
“Saya tak faham Islam versi apa yang Ridhuan Tee anuti -- saban hari menyemai kebencian dan menyeru perpecahan.
“Ajaran Islam sebenar tidak mengajar kita apa yang Ridhuan Tee ajar!” katanya.

