Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) akan mengemukakan tuntutan sivil bagi mendapatkan semula bayaran bonus RM2.5 juta daripada Arul Kanda Kandasamy ketika menjadi presiden dan ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pihaknya tidak meluluskan bayaran tersebut dan tindakan mahkamah akan diambil untuk menuntutnya.

“Pihak kerajaan persekutuan (melalui) MOF telah memberikan arahan untuk menuntut balik pembayaran RM2.5 juta yang telah diterima oleh Arul Kanda.

“Kita tidak luluskan pembayaran RM2.5 juta tapi yang telah dibayar RM2.5 juta (maka) tindakan mahkamah dan guaman telah diambil untuk menuntut balik (bayaran itu).

“Dan (kita) juga mengkaji tindakan lain supaya apa-apa keputusan yang telah dibuat dan merugikan 1MDB kita pun boleh tuntut balik kepada Arul Kanda,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung perkara itu.

Tuntutan tersebut susulan pendedahan Lim di Dewan Rakyat semalam berhubung jumlah bayaran gaji yang diterima Arul sebanyak RM5 juta dalam tempoh enam bulan mulai Januari hingga Jun lalu.

Wang kepada Arul Kanda itu dibuat melalui dua bayaran dengan RM2.5 juta dibayar Januari lalu dan baki berkenaan sepatutnya dijelaskan selepas 30 Jun 2018.

Bagaimanapun, ia tergendala selepas BN tumbang pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dan kerajaan baru Pakatan Harapan pada 28 Jun lalu menamatkan perkhidmatan Arul Kanda selepas mendakwa beliau melanggar kontrak dan kewajiban fiduiari sebagai ketua 1MDB.

Semalam bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan pembayaran sebanyak RM5 juta selama enam bulan kepada Arul Kanda sebagai satu perkara yang baik dan setimpal dengan tanggungjawab dan peranannya dalam syarikat itu.

Najib berkata, bayaran itu perlu dinilai dalam konteks yang positif kerana ia tidak setanding kejayaan Arul menguruskan 1MDB.

Mengulas lanjut, dalam sidang medianya juga, setiausaha Agung DAP itu turut menuntut penjelasan daripada Najib adakah benar Arul Kanda mendapat RM10 juta setahun ketika bertugas di bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Di sini saya sekali lagi mempersoalkan kredibiliti dan integriti bekas perdana menteri memberikan alasan yang tidak masuk akal langsung.

“Sekiranya beliau nak cakap angka dan fakta, tunjukkan bukti sebelum beliau menjadi presiden 1MDB beliau dibayar RM10juta setahun atau RM5 juta untuk enam bulan seperti mana yang saya nyatakan di sini,” tegasnya.

Di era BN, Arul pernah menjelajah ke seluruh pelosok negara bagi menangkis dakwaan-dakwaan terhadap syarikat itu sebelum ini.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS), percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion wang 1MDB telah disalah guna.

Ia didakwa dicuci melalui sistem kewangan AS dan memberi manfaat kepada Malaysian Official 1 (MO1), pegawai-pegawai 1MDB serta anggota keluarga dan kenalan mereka.

Pemimpin Umno Datuk Rahman Dahlah mengesahkan MO1 ialah Najib. Najib telah menafikan dakwaan salah laku atau menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Lihat Komen
ADS