Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN umum beri laluan kepada PAS di Seri Setia
Diterbitkan:  Aug 3, 2018 12:41 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mendedahkan BN akan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia nanti.

Menurut beliau, ini adalah sebagai tanda menghormati dan menghargai pengorbanan PAS yang telah memberi laluan kepada Umno pada PRK Sungai Kandis.

“BN dan Umno telah berunding secara tidak rasmi (untuk tidak bertanding) dan presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (juga hadir pada rundingan itu).

“Saya ingin membuat pengumuman bahawa BN atau Umno akan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di kawasan situ,” katanya pada sidang media di pejabat Umno bahagian Kota Raja.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata BN dan Umno akan bekerja kuat di PRK Seri Setia walaupun calon yang akan diturunkan bukannya calon parti mereka.

“Kita harap PAS akan dapat memilih seorang calon yang boleh dijadikan sebagai ikon untuk membawa suara rakyat di Seri Setia ke dalam DUN Selangor.

“Jadi, ini merupakan titik permulaan persefahaman di antara PAS dan Umno. Insya-Allah, kita akan kembangkan dan sebarluaskan lagi,” katanya.

Mohamad turut berharap rakyat akan dapat membaca titik persamaan ini untuk dijadikan sebagai satu politik baharu dalam Malaysia Baru.

“Kita juga berharap persamaan ini akan dapat diperkasakan lagi,” katanya.

Kerusi Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia semalam.

Pada pilihan raya umum ke-14, Shahruddin menang besar dengan mendapat 29,250 undi.

Beliau mengalahkan calon BN Yusoff M Haniff yang memperoleh 9,878 undi, calon PAS dengan 4,563 undi dan calon bebas S Vigneswaran dengan 217 undi.

PRK DUN Seri Setia adalah PRK ketiga di Selangor selepas Sungai Kandis dan Balakong yang masing-masing akan diadakan esok dan 8 Sept nanti.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu sementara PRK DUN Balakong pula diadakan berikutan kematian penyandangnya Ng Tien Chee akibat kemalangan pada 20 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga timbalan presiden Umno berharap persefahaman antara dua parti besar Melayu di negara ini iaitu Umno dan PAS dapat diperkasakan pada masa akan datang.

"Saya minta dua parti besar Melayu ini mesti kena ada persefahaman.

"...dan masih berbaki setengah hari lagi ini, saya minta pengundi yang memberi kepercayaan kepada PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan undian lebih 7,000, untuk beri kepercayaan kepada kami (BN) di Sungai Kandis.

“Insya-Allah kami akan memulangkan undi (kepada PAS) di DUN Seri Setia nanti," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai calon BN bagi PRK DUN Balakong, Mohamad berkata kerusi itu berkemungkinan akan diserahkan kepada MCA.

"Kerusi itu (Balakong) kami tengok nanti macam mana, mungkin akan bagi pada MCA," katanya.

Lihat Komen
ADS