Duta China minta media tidak perbesarkan isu
Duta Besar China ke Malaysia Wang Chungui meminta media tempatan dan antarabangsa termasuk di China serta Taiwan tidak memperbesar-besarkan kes wanita warga China yang didakwa diberikan layanan buruk oleh polis.
Beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secara mesra antara kedutaan dan kerajaan Malaysia.
Duta Besar China ke Malaysia Wang Chungui meminta media tempatan dan antarabangsa termasuk di China serta Taiwan tidak memperbesar-besarkan kes wanita warga China yang didakwa diberikan layanan buruk oleh polis.
Beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secara mesra antara kedutaan dan kerajaan Malaysia.
"Bertenang, selesaikannya menerusi saluran diplomatik," kata beliau kepada media selepas menghadiri jamuan tengah hari sempena pelantikan Gao Wenkuan sebagai kaunselor Ekonomi dan Komersial Kedutaan Besar China ke Malaysia di ibunegara.
Beliau berkata kerajaan China berharap Malaysia akan menyelesaikan kes terbabit dengan cara yang sesuai supaya dapat memulihkan keyakinan rakyat China terhadap Malaysia.
Khamis lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menunjukkan di lobi Parlimen, rakaman video seorang wanita dipercayai warga China dalam keadaan bogel diarah melakukan ketuk-ketampi oleh anggota polis wanita ketika ditahan dalam lokap.
Rakaman kira-kira 30 saat itu diambil menggunakan telefon bimbit dan ditayangkan semula menggunakan komputer riba Teresa.
Wang berkata China berharap agar kes itu akan diselesaikan secara adil dan sewajarnya, namun yang paling penting sekarang ialah mendapatkan keyakinan pelancong terhadap Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, kes yang amat menyedihkan ini merupakan kes individu dan tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.
Beliau turut mencadang kedua-dua buah negara supaya menandatangani perjanjian tenaga buruh agar pekerja buruh China masuk ke Malaysia melalui prosedur undang-undang yang sah.
Katanya perjanjian itu akan membantu mengurangkan kes pekerja tanpa izin China di Malaysia dan kerajaan Malaysia boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap pendatang tanpa izin menurut undang-undang Malaysia atau berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Wang berkata perjanjian itu masih dalam perbincangan dan beliau harap kedua-dua buah negara akan bekerjasama bagi menyelesaikan masalah buruh asing.

