Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas personaliti Astro AEC antara calon DAP di Balakong
Diterbitkan:  Aug 3, 2018 8:04 PM
Dikemaskini: 5:23 PM

Bekas wartawan penyiaran Cina terkemuka Yunna Tan antara nama yang disebut sebagai calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang akan datang.

Ketika dihubungi Malaysiakini, dua pegawai DAP yang enggan nama mereka dikenali berkata, Tan adalah antara calon yang disenarai pendek bagi PRK itu.

Tan pernah menjadi hos bagi dua program mengenai hal ehwal semasa kaum Cina - Evening Edition dan Prime Talk - di saluran berbahasa Cina, Astro AEC.

Salah seorang pegawai DAP berkata, meskipun Tan berasal dari Pulau Pinang, ia tidak menjadi masalah bagi wanita itu bertanding di Selangor.

"Ini bukan kali pertama DAP meletakkan seseorang yang bukan orang tempatan," kata sumber tersebut.

Sumber lain berkata Tan ditawarkan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Setakat ini, usaha untuk menghubungi Tan untuk mendapatkan reaksi tidak berjaya manakala ketua DAP Selangor, Tony Pua enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Setiausaha MCA Selangor, Ng Chok Sin berkata jawatankuasa pusat parti itu akan mengadakan mesyuarat Jumaat depan untuk memutuskan calon.

Beliau berkata pilihan raya kecil itu akan menjadi sukar bagi MCA dan ini tidak menimbulkan 'ghairah' buat pemimpin kanan DAP.

"Kita boleh cari orang tempatan. Kita boleh cari orang muda untuk memberikan mereka pengalaman berkempen," kata Ng.

Kemenangan besar

Kerusi DUN Balakong kosong berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya.

Pada Piihan Raya Umum (PRU) 9 Mei, Eddie memenangi kerusi itu dengan kemenangan besar apabila menguasai 77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.

Calon MCA hanya memperoleh 10.9 peratus daripada jumlah undi, di belakang calon PAS yang memperoleh 11.6 peratus undi.

Hari penamaan calon jatuh pada 18 Ogos dan hari mengundi ditetapkan pada 8 September depan.

Lihat Komen
ADS