Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air muka pemimpin jadi taruhan PAS di Sg Kandis

PAS menjadikan pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Kandis untuk menjadi medan parti itu melaksanakan eksperimen, kata Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari.

Katanya langkah itu dibuat bagi membolehkan PAS melihat sejauh mana anggota parti itu mampu menerima idea bekerjasama dengan Umno.

Pada masa sama katanya PAS juga membuktikan kejujurannya dalam usaha parti-parti pembangkang mendedahkan kelemahan yang ada pada Pakatan Harapan (HARAPAN).

“PRK tempat buat kajian, dan kita tunjukkan kejujuran kita, kesungguhan kita.

"Pimpinan PAS memperjudikan air muka mereka untuk memberikan arahan secara langsung atau tak langsung supaya kira-kira 7,000 pengundi PAS (pada PRU lalu) untuk mengundi BN agar HARAPAN kalah," katanya.

Bagaimanapun berdasarkan keputusan PRK yang diumumkan malam tadi Ahmad Fadhli mengakui uji kaji tersebut tidak berjaya.

"Ternyata orang yang mengundi PAS itu, tangan mereka tak tergamak nak undi Umno,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur hari ini.

Beri laluan kepada PAS

Semalam dalam pertembungan tiga penjuru di Sungai Kandis, calon HARAPAN Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperolehi 15,427 undi sekali gus menewaskan calon BN Datuk Lokman Noor Adam (9,585 undi) dan calon bebas K Murthy (97 undi).

Menghadapi PRK berkenaan PAS bermula dengan berkias-kias mengenai sikap mereka berdepan dengan HARAPAN. Bagaimanapun semakin hampir dengan tarikh mengundi beberapa pemimpin kanan parti itu menyatakan secara terbuka meminta penyokong PAS memberikan sokongan kepada Lokman.

Bendahari Dewan Ulama Pusat PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali misalnya secara terang-terangan meminta pengundi PAS di Sungai Kandis memilih Lokman atas alasan kerajaan HARAPAN tidak menegakkan serta menjaga Islam.

Mengulas perkara itu Dr Khairuddin berkata anggota parti itu tidak mempunyai pilihan selain mengundi BN. Namun pada masa sama beliau menegaskan hubungan parti Islam itu dengan Umno sekadar rakan strategik.

Untuk rekod pada PRU ke-14 lalu PAS meletakkan calon mereka di Sungai Kandis dan memperoleh 7,573 undi.

Selepas PAS membuktikan sikapnya, kata Ahmad Fadhli, PRK Seri Setia selepas ini bakal menjadi medan eksperimen baru, terutama bagi melihat sama ada pengundi BN tergamak pula memangkah PAS.

"Jika ia berlaku maka PAS boleh membina persepsi baru iaitu jika mahu Melayu dan Islam menang, parti pembangkang harus memberi laluan kepada PAS bertanding PRU (akan datang).

“Strategi di Sungai Kandis telah pun berlalu. Umno masuk bertanding, PAS keluarkan arahan sokong Umno, tapi 7,000 pengundi kita bukan aset mudah alih. Aset ini takkan beralih.

"Eksperimen berikutnya (ialah) di DUN Seri Setia, PAS bertanding, Umno tak bertanding," katanya.


Baca PAS memang mahu Umno menang kali ini


Menurut anggota parlimen Pasir Mas itu lagi untuk rundingan bersama Umno selepas ini pihaknya akan menegaskan bahawa pengundi Umno perlu memberikan sokongan mereka kepada PAS.

Ahmad Fadhli turut mengingatkan anggota parti itu supaya terus setia dengan perjuangan parti walaupun kecewa dengan keputusan yang dibuat pemimpin parti, seperti berkaitan arahan mengundi BN di Sungai Kandis.

Katanya anggota PAS mesti bersangka baik dengan segala keputusan yang dibuat pemimpin parti.

“Saya datang di sini dengan tujuan supaya tuan-tuan walak dengan strategi pimpinan.

"Jangan terlintas di hati pimpinan buat begini (suruh undi BN) dapat bahagian (duit), (kemudian) letak dalam Facebook yang duit boleh (dapat) dah, buat kerja untuk Umno.

“Tuan-tuan jangan rasa pimpinan kita macam tu, jangan rasa... kena berbaik sangka, kena husnu zon yang kita kenal hati budi, peribadi (pemimpin).

“Walaupun mungkin apa yang mereka buat tu nampak nak jalinkan persefahaman dengan musuh-musuh kita sebelum ini tapi ia bukan tujuan peribadi, tidak,” katanya.

Lihat Komen
ADS