Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SG KANDIS | Tidak lagi berselindung atau berkias madah, PAS secara terbuka menggesa anggota parti itu mengundi calon Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Malam tadi dua pemimpin pusat parti itu mengarahkan anggota PAS supaya memenangkan Datuk Lokman Noor Adam yang bertanding dalam usaha pembangkang merampas kerusi Sungai Kandis daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata anggota dan penyokong parti itu perlu mengundi Lokman jika mahu melihat HARAPAN dikalahkan.

Katanya, PAS berpendirian tidak boleh menerima cara pemerintahan kerajaan sekarang.

Justeru kata bekas calon parlimen Indera Mahkota tersebut, penyokong PAS perlu memberi "didikan politik" kepada HARAPAN dengan mengalahkan Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Setuju tak saya kata HARAPAN kena kalah? Kalau tidak setuju dan HARAPAN menang, anda tidak fikir masalah LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan Islam? Jawapannya, kena kalah.

“Untuk mengalahkannya, kena undi siapa? Itu dia ada situ,” katanya kepada penyokong Pas sambil menunjuk ke arah Lokman yang turut hadir di majlis ceramah berkenaan.

Bertakbir bersama-sama

Lokman adalah salah seorang tokoh memeriahkan ceramah perdana Bangkit PAS Selangor di Markas PAS Kota Raja di Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam, malam tadi.

Nasruddin juga mengingatkan HARAPAN akan menang pada PRK berkenaan jika PAS memboikot atau tidak keluar mengundi pada 4 Ogos nanti.

Puncanya kata Nasrudin ada ramai anggota dan penyokong PAS di kawasan berkenaan.

Katanya pada PRU lalu PAS mendapat lebih 7,000 undi dan mendakwa kini jumlah sokongan kepada parti itu mencapai hampir 15,000 undi.

"Jika kita boikot maknanya HARAPAN akan mempunyai kelebihan 15,000 atau 7,000 undi sebab undi kita tidak masuk (bertanding).

Sementara itu seorang lagi pemimpin kanan PAS yang berucap ialah anggota Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Kata anggota parlimen Kuala Nerus itu PAS menunjukkan kebersamaan untuk menolak HARAPAN dan bagi mencapai matlamat itu mereka mesti memenangkan calon Umno.

“Untuk PRK Sungai Kandis, kita perlu mengambil satu sikap yang menguntungkan Islam dan ia mengajar kita menolak kerosakan lebih baik daripada mendapat nasihat.

“Kerosakan telah ditunjukkan oleh HARAPAN walaupun dua bulan memerintah sama ada dari segi agama, ekonomi, sejarah yang diputar belit, raja-raja dihina, bahasa Melayu dipinggirkan dan ia adalah kerosakan kepada negara," katanya.

Khairuddin yang juga bendahari Dewan Ulama PAS Pusat berkata tiada pilihan buat parti itu melainkan mengajak semua pengundi Sungai Kandis untuk menolak HARAPAN sebagai isyarat mereka tidak bersetuju dengan agenda yang dibawa kerajaan.

"Kerana itulah pilihan kita pada PRK kali ini, tunjukkan kebersamaan kita menolak HARAPAN dengan sama-sama kita menangkan calon Umno, iaitu Datuk Lokman Adam.

"Untuk itu saya mengajak tuan-tuan bertakbir semoga Allah memberikan kemenangan kepada apa yang kita mahu," katanya sambil mengetuai laungan takbir.

Dalam pada itu, Lokman berkata beliau terharu dengan sokongan diberikan PAS kerana beliau memang benar-benar memerlukannya, di samping berharap mendapat sokongan masyarakat India dan penyokong PKR.

“Pada PRU lalu, saya lihat BN berjaya memperoleh 25 peratus undi daripada (kira-kira 15,000) masyarakat India dan saya berharap kira-kira 40 hingga 50 peratus pengundi India akan menyokong kami kali ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS