Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Kerajaan BN sebelum ini mengilhamkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) pada 2011 dengan matlamat membantu rakyat berpendapatan rendah di kawasan bandar.

KR1M itu mendapat sambutan menggalakkan sehingga ia terpaksa diperluaskan sehingga ke luar bandar.

Dan itulah permulaan masalah yang perlu ditanggung Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd (Mydin) sehingga 'hayat' KR1M itu terpaksa ditamatkan pada Jun 2017.

Selepas gagalnya KR1M, Datuk Seri Najib Razak - yang ketika itu perdana menteri - mengumumkan penstrukturan semula kedai berkenaan, lalu lahirlah KR1M 2.0.

Bagaimanapun, bagi Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali yang mempunyai pengalaman mengendalikan KR1M berpendapat, tindakan membuka KR1M 2.0 merupakan satu "jenaka".

Sebabnya kata Ameer, kedai berkenaan bukannya benar-benar menjual barangan pada harga rendah.

Malah, beliau turut mendakwa projek KR1M 2.0 sebagai satu pembaziran justeru ia tidak wajar berlaku.

"Tak payah (KR1M 2.0), it's a joke (ia adalah jenaka). Letak nama KR1M 2.0 untuk penjenamaan tapi tak ada apa-apa.

"Mereka jual gula pun kurang 5sen, tepung pun hanya murah 10sen. Barang mereka tak murah pun, jadi kenapa perlu ada KR1M 2.0?" soalnya ketika ditemu bual bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diajukan pertanyaan sama ada KR1M 2.0 patut dikekalkan atau tidak oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

KR1M 2.0 diumumkan pada pembentangan Bajet 2018 dan sebagai permulaan, 50 buah kedai akan dibuka dan kemudiannya ia akan diperluaskan kepada 3,000 dalam tempoh tiga tahun.

Semasa membentangkan belanjawan, Najib berkata KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas pada harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas asli cecair (LPG).

Kontrak ditarik balik

Selepas memenangi Putrajaya, kerajaan HARAPAN melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberitahu, KR1M 2.0 akan diteliti keperluannya sama ada akan diteruskan atau diberi penjenamaan semula.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiada arahan untuk KR1M 2.0 ditutup dan setakat ini juga pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan kerana menunggu laporan penuh mengenainya.

Kewujudan KR1M bertujuan menjual pelbagai barangan harian pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Bagaimanapun, kontrak Mydin sebagai pengendali KR1M ditarik balik oleh timbalan perdana menteri sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana menjual barang dengan harga lebih tinggi berbanding pasaran.

Sehubungan itu, dalam wawancara sama Ameer menjelaskan dakwaan harga barangan KR1M yang mahal serta tidak berkualiti.

Ahli perniagaan berusia 62 tahun itu memberitahu, sebagai kedai yang menggunakan nama "Kedai Rakyat", pihaknya tidak boleh menjual barangan pada harga yang mahal dan tidak berkualiti.

Kos penghantaran ada masalah

Ini kerana, katanya, prosedur bagi sesebuah barangan untuk diletak label Kedai Rakyat sangat ketat serta dipantau Kementerian Kesihatan.

Malah Ameer turut mempersoalkan, sekiranya barangan yang dijual mahal seperti didakwa, bagaimana beliau menanggung kerugian sehingga lebih RM100 juta.

"Zahid kata kedai jual mahal, kita akurlah. Kitakan Melayu... kita akur sahajalah," katanya sinis.

"Nak kata KR1M mahal, susah juga tu. Mana boleh KR1M mahal? Kalau mahal takkan saya rugi RM100 juta.

"Kita rugi sebab KR1M itu memang bagus, harga semua sama (rendahnya) tapi kos rantaian untuk pembekalan tu, siapa tanggung? Kami!" katanya lagi.

Menurut Ameer barangan yang dijual di KR1M juga tetap berkualiti, termasuk roti, susu tin dan sebagainya.

Katanya persepsi orang ramai ialah, disebabkan harga barangan di KR1M murah maka ia tidak berkualiti, sedangkan hakikatnya semua produk hanya boleh dilabelkan dengan KR1M selepas melalui proses yang sangat ketat.

Ameer turut memberitahu antara sebab beliau mengalami kerugian semasa mengendalikan KR1M ialah disebabkan kos rantaian penghantaran bekalan yang tinggi.

Katanya, KR1M bermula di bandar kerana disasarkan kepada penduduk kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.

Menurut Ameer, ia dapat dilaksanakan kerana rantaian sistem penghantaran masih berada dalam lingkungan yang ekonomik kerana pasar raya Mydin juga dibuka di bandar.

Namun katanya apabila KR1M dibuka di luar bandar dan pada masa sama harganya mesti kekal lebih rendah, masalah pun timbul.

"Mydin tak ada di kawasan kampung-kampung. Maka untuk kami hantar barang-barang ke sana, ke lokasi jauh dari pasar Mydin, tentulah memerlukan kos yang tinggi.

"Masalah saya ialah rantaian penghantaran bekalan," jelasnya lagi.

Siri 1: 'Tolonglah, usah campurkan bisnes dengan politik'

Siri 2: GST: HARAPAN buat silap besar dalam dunia

 

  • Wawancara ini turut disertai wartawan Al-Abror Mohd Yusuf
Lihat Komen
ADS