Berita Malaysiakini

Kedai Rakyat 1Malaysia distrukturkan semula sebagai KRIM 2.0

Diterbitkan  |  Dikemaskini

BAJET 2018 l Bermula tahun 2018, Kedai Rakyat 1Malaysia akan distrukturkan semula sebagai KR1M 2.0, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai permulaan, katanya, 50 kedai akan dijadikan KR1M 2.0 yang kemudiannya akan diperluaskan kepada 3,000 dalam tempoh tiga tahun.

Menurut Najib, KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas asli cecair (LPG).

“KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan LPG.

“Di samping itu, 50 jenis barangan pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 di Parlimen hari ini.

Menurut Najib, Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak juga akan diteruskan dengan peruntukan RM80 juta.

Di samping itu, kerajaan akan membangunkan Agrobazaar Malaysia dengan peruntukan RM20 juta, bagi menyediakan ruang pasaran dan pusat jualan agro makanan dengan harga yang lebih rendah, dimulakan di Putrajaya.

“Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani akan melaksanakan program melalui FAMA dan LKIM dengan peruntukan 50 juta ringgit, bertujuan agar pengguna memperolehi stok barang makanan dengan harga berpatutan, seperti ikan, sayur, ayam dan telur,” katanya.