Paling Popular
Terkini

ULASAN | Saya tidak memberi perhatian kepada politik kerana saya bukan lagi ahli politik. Lebih-lebih lagi selepas PRU ke-14, kerajaan baru telah berjaya dibentuk.

Makanya saya tidak melihat ada keperluan untuk memberi perhatian khusus kerana kerajaan hari ini bukan lagi sebuah kerajaan kleptokratik yang wajib diserang seperti kerajaan dahulu.

Namun ada beberapa kenyataan ahli-ahli politik, khususnya pemimpin PKR, dan anggota parlimen beberapa hari ini yang mengundang perhatian.

Pasti akan ada suara sinis yang menempelak kerana saya tidak lagi ahli PKR.

Tetapi pemimpin PKR hari ini bukan lagi pemimpin sebuah parti sahaja tetapi kerajaan, dan sebagai rakyat biasa saya berhak menegur. Kedua, saya sedikit sebanyak ada menyumbang untuk menubuhkan PKR awal dahulu dan pernah ke penjara atas nama parti itu.

Sudah menjadi lumrah untuk mana-mana kerajaan dikritik. Kenyataan negatif terhadap kerajaan yang dianggotai mereka sendiri boleh memberi imej negatif kepada kerajaan itu sendiri. Itu juga pada hemat saya tidak mengapa.

Tetapi beberapa kenyataan akhir-akhir ini bukan saja boleh menjejaskan imej tetapi kestabilan dan ekonomi negara kerana ia menyentuh beberapa perkara yang sewajarnya dielakkan dinyatakan secara terbuka, sambil lewa dan tanpa sebarang bukti pula.

Kenyataan membabitkan Tun Daim Zainuddin tentunya boleh memberi kesan kepada negara kerana beliau adalah pengerusi Majlis Penasihat Kerajaa.

Sesiapa pun tidak boleh menafikan bagaimana majlis itu yang terdiri daripada tokoh-tokoh besar dan berpengaruh seperti Tan Sri Zeti Aziz, Tan Sri Hasan Merican, Tan Sri Robert Kuok dan Prof Jomo KS, selain Daim sendiri, telah memberi kesan positif kepada kestabilan dan ekonomi negara khususnya pada peringkat awal penubuhan kerajaan.

Justeru kenyataan negatif apatah lagi semborono terhadap tokoh dalam majlis itu boleh memberi kesan negatif kepada negara, lebih-lebih lagi jika ia daripada anggota parlimen parti pemerintah.

Lebih serius lagi, kenyataan itu juga menyentuh tentang kononnya ada komplot membabitkan jawatan perdana menteri.

Ia bukan sebarang jawatan. Sebarang kenyataan mengenainya mesti dibuat dengan teliti apatah lagi apabila ia datang dari ahli parlimen kerajaan. Berbeza implikasinya jika ia dakwaan pembangkang.

Keghairahan berkempen untuk jawatan parti tidak boleh menjadi lesen untuk melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat kestabilan kerajaan dan negara.

Maka hentikanlah.

Saya juga harap saudara Rafizi Ramli sebagai kepala kepada kumpulan kempen ini untuk mengambil sikap bertanggungjawab.

Saya kenal saudara Rafizi. Malah saya yang membawa dia masuk ke PKR melalui sahabat karib dan orang kanan saya ketika dalam saya pemuda dahulu iaitu allahyarham Sdr Adlan Benan Omar.

Saya usulkan agar mereka berdua dimasukkan terus ke majlis pimpinan tertinggi parti walaupun baru tamat pengajian. Saya lihat potensi Rafizi pada ketika itu.Tetapi saya tidak setuju dengan beberapa kenyataan dan tindak-tanduk beliau akhir-akhir ini.

Saya juga mengharapkan ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperbetulkan keadaan. Beliau pernah menjadi orang nombor dua negara. Pernah menjadi menteri kewangan, beliau tentunya faham soal kestabilan negara dan ekonomi.

Lebih-lebih lagi di saat kita mewarisi kerajaan kleptokrat dengan beban hutang dan kecurian. Maka perkara paling utama dan harus dipandang paling serius adalah soal kestabilan dan keutuhan kerajaan dan ekonomi.

Kalau kita benar-benar jujur mahu menyelamatkan negara dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan lain, seharusnya tiada kompromi sama sekali terhadap unsur-unsur yang memusnahkan ini.


MOHAMAD EZAM MOHD NOR ialah pengerusi Hisbah dan bekas ketua Pemuda PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS