Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta MKN lahir dari salah tafsir perlembagaan, kata PM
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 1:47 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

PARLIMEN | Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan BN menyalah tafsir pindaan perlembagaan yang dilakukan beliau lebih 20 tahun lalu semasa meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Menurut perdana menteri sebenarnya persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan untuk sesuatu akta yang menyentuh kuasa serta kedudukan baginda.

Dalam konteks itu kata Dr Mahathir berlaku tafsiran yang tidak tepat oleh kerajaan sebelum ini apabila mereka menggunakan peruntukan Fasal 66(4) dan 66(4A) Perlembagaan Persekutuan untuk melulus serta menguatkuasakan Akta MKN tersebut.

"Akta MKN jelas menyentuh kuasa kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat (dan dengan adanya MKN) kuasa itu tidak lagi bermakna.

"Pengisytiharan darurat adalah keistimewaan yang diberi kepada Agong kerana implikasinya sangat serius... kerajaan boleh menangkap sesiapa saja tanpa bicara," katanya semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang penggubalan Akta MKN dan pindaan perlembagaan.

Menurut perdana menteri walaupun berlaku salah tafsir kerajaan tidak bercadang membatalkan pindaan yang melahirkan akta tersebut, sebaliknya mengkajinya untuk melihat kemungkinan meminda atau memansuhkannya.

Rakyat boleh hilang suara

Fasal 66 (4) menyatakan Agong hendaklah - dalam masa 30 hari selepas sesuatu rang undang-undang dikemukakan kepadanya - memperkenankan rang undang-undang tersebut dengan menyebabkan mohor besar dicapkan padanya.

Peruntukan Fasal 66 (4A) pula menetapkan, jika sesuatu rang undang-undang tidak diperkenankan oleh Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), ia hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam fasal itu.


Baca Akta MKN: Agong berkuasa isytihar darurat negara


Sebelum peruntukan itu dipinda, Agong berhak menolak sesuatu rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat.

Sementara itu Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB-Santubong) bertanya sama ada pindaan yang dibuat pada 1994 itu masih relevan pada hari ini atau tidak.

Menjawab soalan bekas menteri itu Dr Mahathir berkata sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat Malaysia menentukan apa yang dikehendaki oleh mereka.

Justeru katanya jika Agong diberi kuasa mutlak untuk menolak sesuatu rang undang-undang, maka rakyat akan hilang suara dan negara tidak lagi beramal dengan sistem demokrasi.

"Kita akan jadi negara monarki mutlak.

"Saya yakin kita tak mahu kepada sistem itu. Sebab itulah kita pinda (perlembagaan) supaya keputusan rakyat tidak boleh diketepikan atau dibatalkan oleh Agong," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS