Bukan semua orang yang "sesat" boleh dianggap bakal membawa seseorang ke neraka.

Malah ada ulama yang digelarkan dengan perkataan itu namun keilmuannya disegani ramai.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Rozaimi Ramle memberitahu suatu ketika dulu ada seorang perawai hadis yang terkenal.

Katanya ilmuan tersebut bernama Muawiyah Abdul Karim dan berasal dari Basrah, Iraq.

"Beliau digelar al-Dhal yang bermaksud seorang yang sesat," katanya melalui hantaran di media sosial.

Kenyataan bersifat santai itu dimuat naik ketika istilah "sesat" menjadi bahan jenaka sesetengah orang terutama yang berminat dengan suasana politik semasa.

Ia berpunca daripada komen Menteri Kewangan Lim Guan Eng terhadap celahan dibuat anggota parlimen PAS dari Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi di Dewan Rakyat pada minggu lalu.

Lim sedang membuat ucapan penggulungan kementeriannya apabila Che Abdullah bangun dan memberikan pandangannya.

Kena bawa kamus

Bagaimanapun Lim menegaskan kenyataan itu tidak berkaitan dengan isu yang sedang dijelaskannya pada ketika itu.

"Saya rasa sudah salah sasaran. Nmpaknya Yang Berhormat Tumpat sudah sesat nampaknya.

Wakil PAS kemudian tidak berpuas hati dengan kenyataan itu dan meminta Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Lim menarik balik perkataan tersebut.

Mohamad Ariff kemudian bertanya apakah alasan untuk mengarahkan Lim menarik balik perkataan berkenaan.

"Sesat ni, neraka," kata anggota parlimen PAS.

Kenyataan itu menyebabkan Lim menggeleng-gelengkan kepala, manakala sebahagian anggota parlimen ketawa. Mohamad Ariff juga secara berjenaka berkata beliau mungkin terpaksa membawa kamus ke dewan pada masa depan.

Rozaimi berkata Muawiyah digelarkan sebagai orang yang sesat bukanlah kerana dihukum akan ke neraka kerana kesalahan atau penyelewengan yang dilakukannya.

"Bahkan sebahagian ulama memuji keilmuan beliau.

"Tetapi (Muawiyah itu) digelar sesat kerana (pernah) tersesat jalan ketika mengembara ke Mekah," katanya.