Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Siasat skandal RM8 bilion projek PR1MA, gesa MP
Diterbitkan:  Aug 16, 2018 8:29 AM
Dikemaskini: 12:56 AM

Pihak berkuasa perlu menyiasat dakwaan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, di parlimen semalam mengenai projek Perumahan.Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang telan menelan belanja RM 8 bilion sejak dimulakan pada 2013, gesa Anggota Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

"Semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan, beliau (Raja Bahrin) telah menyatakan bahawa kerajaan telah membelanjakan RM8 billion untuk projek PR1MA sejak dimulakan pada 2013, tetapi hanya 1.6 peratus atau 16,682 unit rumah PR1MA sahaja yang telah dibina setakat ini," kata Khoo dalam suatu kenyataan hari ini.

Raja Bahrin juga dilaporkan berkata kerajaan akan menilai masalah yang dihadapi PR1MA dan kaedah untk menstruktur semula keberkesanan projek tersebut.

Manakala itu, Khoo berkata pihak pembangkang harus mencerminkan diri sendiri kerana gagal menepati manifesto pilihan raya mereka.

"Perkara ini amat mengejutkan kerana ia menunjukkan satu lagi masalah dan skandal besar yang ditinggalkan oleh kerajaan lama (BN).

"Pihak pembangkang harus mencerminkan diri sendiri kerana mereka telah gagal untuk menepati janji manifesto mereka," kata Khoo yang mendakwa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menipu rakyat dan memberi gambaran palsu mengenai projek itu menjelang PRU14 yang lalu.

Dakwaan projek terbengkalai

"Semasa PRU13 pada tahun 2013, mantan Perdana Menteri Najib Razak telah berjanji melalui manifesto Barisan Nasional untuk membina 1 juta rumah mampu milik, termasuk 500,000 unit rumah PR1MA. Pada bulan Mac 2018, iaitu sebelum PRU14 pula, Najib Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan telah mencapai sasaran membina sejuta rumah mampu milik.

"Pendedahan oleh timbalan menteri semalam menunjukkan bahawa Najib Razak telah sekali lagi menipu rakyat dan memberi gambaran yang palsu. Hakikatnya, projek PR1MA telah gagal sama sekali kerana tidak terlaksana dengan baik dan telah menyebabkan pembaziran sebanyak RM8 billion," katanya.

Khoo mendakwa pengalamannya di Melaka mengesahkan hal ini apabila projek PR1MA terbengkalai kerana kontraktor menghadapi masalah tidak menerima bayaran daripada pihak kerajaan.

"Perkara ini boleh disahkan oleh pengalaman saya sendiri di Melaka, di mana saya difahamkan bahawa kontraktor menghadapi masalah kerana tidak menerima bayaran daripada pihak kerajaan. Ini telah menyebabkan projek PR1MA terbengkalai," katanya yang menggesa kerajaan menjalankan penyiasatan lanjut mengenai projek berkenaan jika terdapat unsur-unsur rasuah oleh kerajaan yang lama dalam projek PR1MA.

Pada pembentangan Bajet 2015, Najib berkata kerajaan akan menangani isu pemilikan rumah dengan harga berpatutan melalui pembinaan 80,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Selanjutnya, pada November 2015, ketika Najib merasmikan Ekspo Rumah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), PR1MA dilaporkan akan membina 65,000 unit rumah mampu milik sehingga 2016.

Pada Mac 2018, bekas perdana menteri berkata PR1MA berada pada landasan yang betul untuk memenuhi komitmennya membina 500,000 perumahan untuk rakyat.

Lihat Komen
ADS