Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PPD didakwa cuba tutup kes dera, gangguan seksual sekolah Tamil

Majlis Lembaga Sekolah-sekolah Tamil Malaysia (MAST) mendakwa isu dera dan serangan seksual di sekolah Tamil sudah menjadi kebiasaan kerana gagal ditangani dengan cekap oleh kementerian pendidikan.

Presiden MAST Guruu Ramasamy mendakwa pejabat pendidikan daerah sering merahsiakan kes-kes seumpama itu.

"Ramai yang terkejut dengan laporan sebuah sekolah Tamil di Pengkalan Hulu, Perak apabila tiada tindakan oleh kementerian pendidikan walaupun sudah ada tujuh laporan polis berkenaan isu dera dan gangguan seksual sejak 2016.

"Walaupun jumlah kes dera dan gangguan seksual di sekolah peringkat rendah masih tidak tinggi berbanding sekolah menengah, ia perlu dihalang dengan segera," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau merujuk dakwaan dera fizikal dan serangan seksual di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh yang dibangkitkan pejabat penyelaras BN bagi DUN Pengkalan Hulu pada 7 Ogos lalu.

Exco pendidikan Perak Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata beliau diberitahu ibu bapa yang terlibat tidak mahu memberi kerjasama kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak apabila diminta bertemu bagi menyelesaikan perkara itu.

Ia menimbulkan kemarahan seorang bapa kepada pelajar terlibat. Dia mendakwa sudah tiga pertemuan diadakan termasuk dengan "pegawai pendidikan dari Putrajaya".

Guruu berkata beliau sendiri menyiasat kes tersebut dan mendakwa seramai 10 ibu bapa dan bekas guru sudah tampil memberi maklumat namun "masih tiada tindakan oleh pejabat pendidikan".

"Lebih mengecewakan, dua guru yang sering didakwa memukul pelajar kini dinaik pangkat ke sekolah lain," dakwanya lagi.

Namun, katanya, itu hanya satu contoh daripada banyak lagi kes seumpamanya.

"Kebanyakan masa, kes ini dirahsiakan oleh pejabat pendidikan dengan mendesak ibu bapa menarik balik laporan, termasuk laporan polis," dakwanya.

Malaysiakini sedang menghubungi pejabat pendidikan daerah terbabit bagi mendapatkan respons mereka.

Tubuh jawatankuasa bebas

 

Dalam pada itu, Guruu menyifatkan langkah menukar guru ke sekolah lain tidak lebih sekadar jalan mudah yang diambil pejabat pendidikan.

 

Malah, katanya lagi, ia seolah-olah memberikan 'rasa selamat' kepada guru yang didakwa melakukan kesalahan.

MAST mencadangkan kementerian pendidikan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat kes seumpama ini kerana menurutnya siasatan dalaman sentiasa berpihak kepada pihak sekolah.

"Cuba lihat kes gangguan seksual oleh ketua cawangan MIC - yang kemudian meletakkan jawatan - yang menawarkan pekerjaan kepada seorang pelajar dengan syarat pelajar itu mengadakan hubungan seksual dengannya.

"Setahu kami, dia yang juga guru di sebuah sekolah Tamil hanya ditukar ke pejabat pendidikan," dakwanya lagi.

Lihat Komen
ADS