Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aliran masuk dana asing dijangka berterusan minggu depan

Trend pembeli bersih ketika ini dalam kalangan pelabur asing di Bursa Malaysia dijangka berterusan minggu depan, seterusnya menyokong indeks komposit kekal di atas paras 1,800 mata.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan prestasi memberangsangkan berbanding bursa-bursa lain di pasaran Asia Tenggara, ditutup minggu ini pada paras 1,808.59.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata pasaran tempatan mencatatkan jumlah aliran masuk sebanyak RM45.9 juta sepanjang minggu lepas dalam keadaan sentimen pasaran yang lebih baik.

“Mereka (dana asing) ketika ini berada dalam trend membeli. Sebaik sahaja mereka mula (membeli), momentum akan berterusan, yang saya jangka akan berakhir sehingga akhir bulan ini.

“Saya percaya mereka dalam situasi membeli saham berharga rendah selepas jualan besar-besaran bulan lepas,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang tempoh 2-30 Julai, Bursa Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM2.02 billion apabila minat terhadap risiko terus merosot dalam keadaan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China.

Bagaimanapun, pasaran tempatan melantun semula yang seterusnya merangsang aliran masuk dana bersih yang positif dalam keadaan pelabur yang menjangka pendapatan korporat lebih baik ditambah dengan peningkatan harga minyak.

Sentimen dalam kalangan dana asing tidak berubah dalam minggu kedua Ogos apabila jualan muncul semula ekoran kebimbangan geopolitik di Turki , yang menyebabkan aliran keluar ketara daripada pasaran ekuiti tempatan.

Bagaimanapun, belian konsisten daripada dana tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, serta keyakinan tinggi kemungkinan rundingan perdagangan AS-China yang positif, boleh membantu memulihkan sentimen dalam minggu ketiga Ogos.

Pong juga berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah yang menelan kos berbilion ringgit, tidak akan memberi sebarang kesan kepada sentimen pasaran minggu depan kerana para pelabur telahpun mengambil kira faktor itu.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata agak terlalu awal untuk menyatakan sama ada ekuiti Malaysia akan terus meningkat lebih tinggi terutamanya dalam konteks ketegangan perdagangan yang berlaku sekarang.

“Pada masa yang sama, prospek kadar faedah tinggi di negara-negara maju yang diterajui AS berpotensi mengalihkan dana asing dari pasaran sedang pesat membangun.

“Di dalam negara, hala tuju dasar akan dipantau dengan rapat bagi melihat potensi kesannya kepada ekonomi makro dan industri,” katanya.

Melihat kepada data keluaran dalam negara kasar terbaharu, Mohd Afzanizam berkata jelas sekali sektor pengguna adalah penyumbang utama dengan pengguna swasta berkembang pada kadar lapan peratus, yang mengatasi paras trend.

Pada masa depan, ketegangan perdagangan dijangka terus membawa kesan ketara kepada pasaran ekuiti, katanya, yang menjangkakan penurunan sentimen perniagaan akan menjejaskan keputusan perniagaan bagi perbelanjaan modal dan kakitangan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS