Berita Malaysiakini

Penasihat paling dipercayai: Melihat kembali Daim Zainuddin

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menjadi perdana menteri selepas PRU ke-14, ramai tokoh yang dahulu merupakan orang kanannya kembali ke hadapan - barangkali yang paling menyerlah adalah Tun Daim Zainuddin.

Antara langkah pertama Mahathir sebagai perdana menteri adalah menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan - sebuah majlis dianggotai lima tokoh berpengaruh dan diketuai Daim.

"Ramai di kalangan kami tiada pengalaman dalam kerajaan. Kami perlukan kepakaran dalam soal ini.

"Tentulah kepakaran perlu datang daripada mereka yang ada pengalaman dalam pentadbiran, atau berada dalam kerajaan, atau pernah memegang jawatan.

"(Itulah sebabnya) kami memutuskan untuk menubuhkan majlis penasihat," katanya ketika itu.

Daim bersara dari politik pada 2001. Selama itu, beliau tidak menonjolkan diri - walaupun sesekali mengeluarkan kenyataan kritikal terhadap pentadbiran BN - sehinggalah menyertai kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14.

Bagaimanapun hubungan antara Mahathir dan Daim tetap rapat dan ia bermula sejak beberapa dekad lalu.

Orang Kedah

Sama seperti Mahathir, Daim juga berasal dari Alor Setar, Kedah. Lahir pada 29 April 1938, beliau merupakan anak bongsu daripada 13 beradik. Bapanya merupakan kerani kerajaan manakala ibunya suri rumah.

Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Seberang Perak, sebelum ke Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dan St. Xavier Institution di Pulau Pinang. Beliau kemudian kembali ke KSAH sebagai guru.

Ibunya, Pok Rafeah, kemudian menjual tanah keluarga untuk Daim menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, United Kingdom. Beliau lulus peperiksaan peguam pada 1959.

Untuk sepuluh tahun seterusnya, beliau menjadi peguam, timbalan pendakwa, majistret, dan hakim Mahkamah Sesyen, sebelum membuka langkah ke dunia perniagaan.

Beberapa usaha awalnya menemui kegagalan, namun Daim berjaya menebus kerugian melalui pelaburan selepas itu, termasuk dalam pembuatan produk keluli dan besi, pembuatan makanan ringan, plastik dan hartanah.

Pada 1973, syarikat hartanahnya mendapat tanah bernilai tinggi di Cheras dan ia membantu melancarkan kerjaya pembinaannya. Pada 1982, Asiaweek melaporkan ia ekoran hubungan rapat Daim dengan menteri besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris.

Ketika inilah Daim mula menjadi orang yang rapat dengan Mahathir. Ia ketika Mahathir membuat kemunculan semula dalam Umno selepas terpinggir ekoran perseteruannya dengan Tunku Abdul Rahman.

Pada 1976, Daim tamat belajar pembangunan bandar selama dua tahun di University of Berkeley, California, dan dilantik sebagai pengerusi pemaju hartanah Peremba yang ketika itu dimiliki Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

Mahathir ketika itu masuk tahun ketiga sebagai timbalan perdana menteri.

Pada 1981 Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden Umno. Setahun kemudian, Daim dilantik untuk mengetuai syarikat pelaburan parti itu, Fleet Holdings Sdn Bhd.

Pada 1984, beliau menjadi bendahari Umno. Dalam politik nasional pula, beliau dilantik sebagai senator pada 1980 dan anggota parlimen Kuala Muda pada 1982.

Orang-orang Daim

Tahun-tahun berikutnya adalah waktu yang menarik untuk Daim: Melalui Peremba beliau menguruskan pelaburan kerajaan, di Fleet Holdings pula pelaburan Umno.

Pada masa sama beliau tetap seorang ahli perniagaan.

Ia membawa kepada beberapa urus niaga besar dan spekulasi bahawa beliau adalah antara orang paling kaya di Malaysia - dan barangkali Asia - pada masa itu.

Ketika pertama kali menyertai kabinet sebagai menteri kewangan pada 1984, aset miliknya dianggarkan berjumlah RM843.32 juta.

Namun kejayaan ini diiringi dakwaan konflik kepentingan - ekoran peranannya mengendalikan pelaburan kerajaan dan perniagaan sendiri secara serentak.

Sepanjang di Peremba, beliau turut membentuk beberapa tokoh korporat ternama.

Mereka ini - yang digelar sebagai Daim's Boys - termasuklah Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah yang kemudian menjadi CEO Malayan Banking Bhd, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf menjadi pengerusi SP Setia dan pengarah Eco World, dan Datuk Seri Robert Tan yang memiliki saham di syarikat tersenarai di bursa.

Seorang lagi adalah Tan Sri Tajudin Ramli (gambar) yang kemudian menjadi CEO Malaysian Airlines.

Ketika kabinet mengarahkan Daim melucutkan kepentingan perniagaannya pada 1986, beliau didedahkan mempunyai kepentingan dalam United Malayan Banking Corporation (kemudian menjadi sebahagian daripada RHB Bank), Sime Darby, Technology Resources Industries (TRI), System Televisyen Malaysia (TV3), Cold Storage, Guthrie Ropel, Maybank, Tasik Cement, Oriental Holdings, Bolton Properties, Idris Hydraulic, Malayan Flour, Industrial Oxygen dan Syarikat Permodalan & Perusahaan Perak.

Pendakian Daim ke tampuk kuasa dengan pantas ketika pentadbiran Mahathir dikatakan kerana beliau tidak dilihat mempunyai cita-cita politik yang tinggi, tetapi mempunyai kepintaran dalam bidang kewangan dan tahu bagaimana untuk menjayakan sesuatu perkara.

Menteri Kewangan

jawatan rasmi Daim yang paling diketahui ramai adalah menteri kewangan dalam kabinet Mahathir - selama dua penggal iaitu pada 1984-1991 dan 1998-2001.

Kedua-dua tempoh itu adalah saat-saat mencabar untuk ekonomi negara - untuk penggal pertama, beliau ditugaskan untuk menutup ketirisan dan mengurangkan hutang luar Malaysia dalam jangka masa lebih cepat daripada jangkaan.

Pada penggal kedua, beliau mengendalikan ekonomi negara yang masih terkesan akibat krisis kewangan Asia.

Daim tidak lagi menjadi menteri selepas 1991 tetapi ia tidak bermakna Mahathir tidak memberikan apa-apa peranan kepadanya.

Beliau kekal menjadi penasihat ekonomi dan menjadi utusan ke luar negara.

Misalnya, Mahathir dilaporkan menghantar Daim ke Amerika Syarikat dan berjaya memujuk negara itu untuk mengehadkan pengeluaran stok timah yang ketika itu menyebabkan kemerosotan harga dan menjejaskan industri timah di Malaysia.

Daim juga dikatakan menjadi pencetus kepada banyak dasar Mahathir ketika itu.

Mahathir pernah dipetik berkata: "(Dia) tahu perkara paling pokok, bagaimana untuk melaksanakan (dasar). Misalnya, jika saya kata penswastaan, tugasnya adalah untuk mencari cara menswastakan. Dia tunjukkan bagaimana ia perlu dilakukan."

Mahu kekal dalam persaraan

Daim meletakkan jawatan kabinet buat kali kedua pada 2001, hanya dua tahun sebelum Mahathir sendiri menyuarakan hasratnya untuk berundur.

Dalam satu wawancara pada 2004, Daim berkata beliau telah bersara. Tahun lalu, beliau berkata kepada pemberita yang beliau mahu kekal bersara selepas PRU ke-14.

Tidak sampai beberapa hari selepas Mahathir mengangkat sumpah, beliau dilantik menjadi pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Majlis Penasihat Kerajaan mula mengadakan mesyuarat dan pendengaran bagi mendapatkan maklum balas untuk kerajaan, serta menubuhkan jawatankuasa 1MDB dan jawatankuasa reformasi institusi.

Daim juga telah ke China pada Julai lalu untuk merundingkan beberapa projek antara Malaysia dan China yang ditandatangani oleh kerajaan BN, menjelang lawatan Mahathir tempoh hari.

Ia juga bukan tanpa kontroversi. Anggota parlimen pembangkang seperti Khairy Jamaluddin menyatakan kerisauannya bahawa majlis itu telah melangkaui tugasnya sebagai penasihat.

AKhbar Singapura Straits Times pula melaporkan tentang khabar angin rasa tidak puas hati di kalangan pengawai kerajaan dan HARAPAN terhadap pengaruh majlis itu.

Ia bukan kali pertama Daim dan Majlis Penasihat Kerajaan dituduh melangkaui tugas mereka.

Ada laporan mendakwa Daim pada Jun lalu telah meminta Tun Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin melepaskan jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan dan atas restu Mahathir.

Apa-apa pun, Majlis Penasihat Kerajaan dan Daim nampaknya akan terus kekal memainkan peranan selepas 100 hari pentadbiran HARAPAN.

"Ada yang merasakan Majlis Penasihat Kerajaan akan ditamatkan, tetapi saya belum buat keputusan.

"Saya tidak ada cakap apa-apa tentang 100 hari (untuk tempoh majlis itu). Saya masih perlukan khidmat mereka," kata Mahathir.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 23 Ogos lalu, Mahathir berkata "masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan" Majlis Penasihat kerana ada perkara yang beliau tidak dapat tangani secara sendiri.

"Saya tak boleh temuduga orang, tanya tentang latar belakang mereka, buat kajian dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini, beberapa media memetik Mahathir sebagai berkata majlis itu akan membantu kerajaan untuk membentuk dasar dan program untuk mencapai janji 100 hari kerajaan, dan ia juga tempoh masa bagi kewujudannya.

Artikel ini ditulis oleh Koh Jun Lin, berdasarkan rencana empat bahagian tentang Daim yang terbit pertama kali oleh KiniBiz pada 2014.