Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SST akan bawa malapetaka pada HARAPAN, kata Annuar

Kelahiran semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan disusuli kenaikan harga barang akan membawa 'malapetaka besar' kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Tan Sri Annuar Musa.

Malah setiausaha agung Umno itu meramalkan malapetaka tersebut akan tiba dalam tempoh kurang dua tahun pelaksanaannya.

"Jika SST ini disusuli dengan kenaikan harga barang, kos sara hidup tidak menurun, saya rasa kerajaan akan menghadapi satu malapetaka besar.

"(Dan malapetaka itu) dalam tempoh tak sampai dua tahun," katanya tanpa mengulas lanjut tentang 'malapetaka' yang dimaksudkannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Kebangkitan Melayu di pekan Kampung Gajah, Kuala Kangsar, Perak malam tadi.

SST dikuatkuasakan semalam bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 pada sidang yang lalu.

Pada hujung tahun ini pula kerajaan akan menyemak semula dan meminda senarai barangan yang dikenakan cukai itu selepas maklum balas daripada orang ramai, menurut pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh turut membangkitkan sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya kini berbeza daripada sebelum menjadi perdana menteri untuk kali kedua.

Beliau berkata Mahathir tidak dapat bertegas dalam banyak perkara ekoran mahu menjagai popularitinya selain faktor BERSATU merupakan parti yang kecil dalam HARAPAN.

"Mahathir yang dahulu tidak akan bertolak ansur dalam perkara tertentu, misalnya yang boleh mengancam sentimen orang Melayu," katanya.

Bagaimanapun, Annuar berkata Mahathir cuba menjernihkan keadaan apabila mengumumkan Majlis Amanah Mara (MARA) akan kekal bawah satu kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Ia selepas timbul dakwaan bahawa agensi itu akan dipecah-pecahkan kepada beberapa kementerian.

“Hari ini nampaknya beliau (Mahathir) kembali ke status quo, itu bermakna pentingnya suara rakyat," kata Annuar lagi.

Lihat Komen
ADS