Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad Maslan: K'jaan seperti mahu lumpuhkan MARA
Diterbitkan:  Aug 13, 2018 3:47 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

PARLIMEN | Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mempersoalkan langkah kerajaan yang didakwa akan membahagikan peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada beberapa kementerian.

Beliau berkata ia kerajaan seolah-olah mahu menghilangkan keberkesanan MARA selaku agensi memperjuangkan agenda bumiputera.

Terdahulu, peranan majlis itu dilaporkan akan dibahagikan antara beberapa kementerian seperti kementerian luar bandar, kementerian pembangunan usahawan dan kementerian pendidikan menerusi konsep 'pengasingan dan penyerapan'.

"Kenapakah MARA perlu dipecah-pecahkan seumpama itu, seolah-olah sengaja untuk dihilangkan autonomi dan tidak lagi berkesan?

"(Ia) akan menyebabkan agenda pendidikan, keusahawanan bumiputera akan diperkotak-katikkan apabila (peranan MARA) dipecahkan sebegitu," katanya di Dewan Rakyat.

Untuk rekod, sebelum diletakkan bawah kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah, MARA pernah berada bawah tanggungjawab kementerian pembangunan usahawan dan kementerian pembangunan usahawan dan koperasi.

Antara pemimpin BN yang telah menyuarakan perkara itu adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob dan Tan Sri Annuar Musa.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof berkata kerajaan akan memuktamadkan kementerian yang akan bertanggungjawab ke atas Mara dalam masa 100 hari pentadbiran HARAPAN tidak lama lagi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah mengingatkan barisan kabinetnya agar berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan berhubung Mara.

Beliau juga berkata Pakatan Harapan dan BERSATU perlu memberi perhatian terhadap isu MARA.

Lihat Komen
ADS