Barisan Nasional memenangi pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir dengan majoriti 129 undi.

Dalam keputusan pengiraan malam ini, calon BN Hanafi Mamat mendapat 7,419 manakala calon PAS Hanifa Ahmad memperolehi 7,290 undi. Calon bebas Datuk Paduka Ibrahim Ali pula mendapat 414 undi. Sejumlah 160 undi rosak.

Sebanyak 83.04 peratus daripada sejumlah 18,411 pengundi keluar mengundi hari ini, berbanding dengan 77.64 peratus dalam pilihanraya umum 2004.

Bagaimanapun, PAS telah meminta diadakan pengiraan semula dan Pengurus Pilihanraya Abdul Halim Ahmad menetapkan ia dijalankan jam 10 pagi esok.

Dalam pilihanraya umum lalu, PAS memenangi kerusi ini dengan majoriti 56 sahaja.

Keputusan pilihanraya kecil itu amat penting dalam menentukan kedudukan kerajaan PAS Kelantan yang kini menguasai 24 kerusi manakala BN 21 kerusi.

Jika BN disahkan menang esok, kedudukan 23-22 ini dilihat sebagai satu kedudukan yang yang boleh mengubah landskap politik Kelantan.

Ini merupakan pilihanraya kecil yang kedua selepas pilihanraya umum tahun lalu. Dalam pilihanraya kecil Kuala Berang, Terengganu awal tahun ini, BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut.

Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir menarik perhatian ramai kerana ia akan menentukan masa depan parti PAS dan kerajaan negeri Kelantan yang memang sedia goyah sebelum ini kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga.