Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yang penting Umno kalah teruk – 'calon bebas' PD

Datuk G Kumaar Aamaan, yang mahu menjadi calon bebas dalam pilihan raya kecil Port Dickson, berharap Umno akan kalah teruk jika turut sama masuk gelanggang.

Malah, kata bekas setiausaha agung MIC itu, kalaupun nasib tidak menyebelahinya, beliau lebih rela Port Dickson kekal di tangan Pakatan Harapan.

"Ramai yang percaya bahawa saya disuntik dalam PRK PD (Port Dickson) oleh BN.

“Sebenarnya, saya lebih rela jika Pakatan Harapan menang pada PRK ini.

“Yang penting Umno kalah teruk," katanya kepada Malaysiakini.

MIC dan PAS telah menarik diri daripada bertanding melawan tokoh HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setakat ini, Anwar dispekulasikan akan dicabar oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Datuk Abdul Rahman Mohd Redza, dari Umno.

Bagaimanapun setakat ini belum ada keputusan rasmi diumumkan.

Sementara itu, Kumaar yang bertanding sebagai calon PAS di Tanah Rata dalam pilihan raya umum lalu, juga berkata terdapat segelintir pengundi Port Dickson tidak puas hati dengan pentadbiran HARAPAN.

"Mereka rasa HARAPAN sama seperti BN yang menipu rakyat dengan janji-janji palsu.

“Maka, pada pandangan saya akan ada pengundi mengundi Umno walaupun mereka tidak menyukai BN.

“Fokus saya golongan inilah, Khususnya pengundi India yang lebih 12,000 orang di Parlimen Port Dickson.

Jika terpilih, Kumaar berkata akan bertindak sebagai pendesak kepada kerajaan baru, “khususnya empat menteri India” dalam kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Empat menteri itu ialah M Kulasegaran (Sumber Manusia), Gobind Singh Deo (Komunikasi dan Multimedia), Dr Xavier Jayakumar (air, tanah dan sumber asli) dan P Waythamoorthy (Jabatan Perdana Menteri).

Penyandang kerusi Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 September lalu bagi memberi laluan Anwar kembali ke parlimen.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Danyal mendapat 36,225 undi dan mempertahankan kerusi berkenaan untuk PKR dengan kelebihan 17,710 undi.

Dua lagi pencabar untuk kerusi itu, BN mendapat 18,515 undi manakala PAS memperoleh 6,594 undi.

Lihat Komen
ADS