Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Nampaknya parti keramat itu diuji lagi.

Selepas menghadapi mehnah dan tribulasi yang hebat selama bertahun-tahun, ia sampai ke puncaknya pada 9 Mei 2018. Dan bermulalah episod muram sesetengah bangsa Melayu.

Semalam Umno berdepan ujian apabila salah seorang pemimpin kanan parti itu, Mustapa Mohamed membuat kejutan dengan meninggalkan Umno.

Mustapa - atau lebih mesra dan hangat dengan panggilan Tok Pa - bukanlah calang-calang orang. Sebelum ini beliau ialah mercu tanda Umno dalam bentuk yang tersendiri.

Beliau dihormati rakan dan lawan. Pada 1999 - semasa PRU ke-10 - ramai benar orang terkejut serta terkilan apabila beliau diketepikan dari kerusi parlimen Jeli. Sedangkan sentimen majoriti pengundi ketika itu memang mahu membuang Umno.

Ramai tidak mahu kepada Umno tetapi pada masa sama mereka mengharapkan Tok Pa kekal di Dewan Rakyat.

Kemudian apabila Umno dan BN ditolak pengundi secara beramai-ramai dari Putrajaya, sesetengah orang melihat jawapan kepada krisis keyakinan rakyat kepada parti itu ada pada Tok Pa.

Justeru beliau didorong untuk menjadi presiden. Ia kira-kira samalah dengan sekumpulan lelaki yang mahu sembahyang berjemaah. Mereka menolak seseorang yang dirasakan layak. Namun orang itu berasa dia tidak layak - atau tidak mampu - maka dia kemudian berundur. Dia memberi laluan kepada orang lain.

Dan Umno memilih Zahid Hamidi. Tok Pa berundur. Bukan undur sikit-sikit, tapi bukan undur ke saf belakang. Malah keluar saf terus!

Satu demi satu ujian dihadapi Umno. Itu tanda Umno disayangi Tuhan. Bukankah itu formula yang ampuh lagi tuntas untuk menjawab tanda tanya mengapa sesebuah parti - atau perjuangan - gagal memikat hati ramai setiap kali PRU?

Terlepas mengecap kemanisan PAS

Mungkin Umno belum memahami realiti itu. Jika langkah mereka bermesra-mesraan dengan PAS ditakdirkan berjodoh panjang pasti Umno akan faham maksud kaitan antara ujian, kasih sayang Tuhan dan kekalahan dalam pilihan raya.

Lalu apakah Umno perlu meratapi pemergian Tok Pa? Jangan!

Umno boleh saja menganggap langkah Tok Pa keluar Umno sebagai salah satu proses pembersihan parti. Bukankah selama ini setiap kali ada pemimpin yang meninggalkan sesuatu parti politik ia boleh dianggap sebagai proses memperkasakan pertubuhan berkenaan?

Mustahil Umno tidak tahu atau tidak sedar hal sedemikian.

Cuma mungkin akan ada sedikit rasa terkilan dan sayu apabila Tok Pa keluar Umno ketika Umno semakin dekat dengan PAS. Ada sesuatu yang amat merugikan Tok Pa dan kawan-kawan sealiran beliau.

Mereka terlepas daripada menikmati kemanisan perjuangan di atas landasan yang benar, kerana kebenaran itu ada pada PAS. Zahid dan kawan-kawan sealiran dengan beliau tentu lebih faham.

Zahid sudah duduk sepentas - malah sebaris - dengan para ulama PAS di Kuala Terengganu baru-baru ini. Begitu juga dengan pemimpin kanan lain seperti naib-naib presiden Umno itu yang sudah duduk sebumbung dengan orang PAS.

Paling tidak mereka tentu berasa betapa teduh dan dinginnya perjuangan PAS ketika itu.

Pada masa sama tindakan Tok Pa berkemungkinan besar akan membawa natijah yang positif buat PAS. Ada petanda jelas bahawa jumlah keanggotaan parti itu akan bertambah dengan ketara selepas ini.

Kita hanya perlu menunggu setiausaha agung PAS membuat pengumuman mengenai pertambahan anggota parti pada muktamar tahun depan. Besar kemungkinan jumlah anggota PAS akan mencecah 1.5 juta orang.

Umno terus gah dan gagah

Di pihak Umno, sudah sampai masanya untuk parti itu melaksanakan sumpah baiah buat semua wakil rakyatnya. Kalau mahu mudah, boleh saja diambil daripada formula PAS, atau disesuaikan daripada baiah PAS.

Sekurang-kurangnya jika mahu dikecam, ada alasan mudah untuk menghukum seseorang wakil rakyat yang meninggalkan parti. Buat sekian lama formula itu nampaknya berjaya membuat ahli PAS teguh berpegang kepada parti berkenaan.

Kini Umno berada di persimpangan. Antara lemas akibat kehilangan kuasa dan keghairahan untuk bersama PAS. Tok Pa mahukan sebuah Umno yang beraliran sederhana sedangkan kesederhanaan itu ada pada PAS.

Jangan dinilai kesederhanaan itu pada susuk bernama Mercedes Benz atau Audi tetapi nilailah kepada pembangunan yang terjelma di Kelantan - dan selepas ini, Terengganu.

Jika perlu memilih lagi, Zahid dan Umno tidak ada pilihan lain kecuali wajib mengambil PAS.

Bersama berderet-deret pemimpin berwibawa parti itu seperti Datuk Lokman Noor Adam, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan yang seumpama dengan mereka, ia adalah formula terbaik untuk digandingkan dengan tokoh hebat yang sedia ada dalam PAS.

Dengan cara itu Umno bakal melangkah gah dan gagah lebih lama.

Abaikan orang seperti Tok Pa kerana keberkatan bersama PAS itu adalah lebih utama. Suatu hari nanti Tok Pa pasti akan menyesal.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS