Suruhanjaya siasatan diberitahu: Ketuk ketampi satu warisan
Terjemahan Ketuk-ketampi merupakan satu warisan dan tradisi! Demikian menurut seorang pegawai polis yang memberi keterangan kepada suruhanjaya bebas yang menyiasat insiden ketuk ketampi oleh seorang tahanan wanita dalam keadaan bogel di ibupejabat polis Petaling Jaya.
Terjemahan Ketuk-ketampi merupakan satu warisan dan tradisi! Demikian menurut seorang pegawai polis yang memberi keterangan kepada suruhanjaya bebas yang menyiasat insiden ketuk ketampi oleh seorang tahanan wanita dalam keadaan bogel di ibupejabat polis Petaling Jaya.
Beliau adalah Ketua Inspektor Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga merupakan pegawai penjaga ibupejabat balai polis daerah Petaling Jaya.
Ditanya sama ada ketuk ketampi itu sebahagian daripada prosidur, beliau berkata ianya adalah 'satu warisan yang diperturunkan dan telah menjadi tradisi'.
Abdul Aziz juga ditanya sama ada beliau dapat mengenalpasti anggota polis wanita yang mengarahkan tahanan wanita itu melakukan ketuk ketampi.
Menurut Abdul Aziz, anggota wanita berkenaan ialah Lans Koperal Wan Zawati Zalina Wan Ismail (foto).
Wan Zawati, yang duduk di ruang awam, kemudiannya dipanggil ke hadapan. Beliau yang memakai baju kurang, kelihatan 'malu dan gementar'.
'Tiada peraturan tetap'
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Hazam Abdullah Halim dan jurugambar di ibupejabat polis tersebut, Lans Koperal Nor Rashid Mat Arip turut memberi keterangan.
Menurut laporan Bernama, Hazam berkata, tidak ada perintah tetap daripada Ketua Polis Negara atau mana-mana peraturan atau garis panduan yang menetapkan seorang tahanan perlu melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel sebelum dibawa ke lokap polis, demikian suruhanjaya bebas diberitahu hari Isnin.
Katanya, prosedur yang dilakukan ke atas hampir kesemua tahanan sebelum dihantar ke lokap itu bukan peraturan bertulis tetapi lebih berupa prosedur tidak bertulis yang dijalankan polis di seluruh negara.
Beliau adalah saksi kedua yang memberi keterangan kepada empat anggota suruhanjaya yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden ketuk ketampi dalam keadaan bogel di lokap polis Petaling Jaya.
Hazam (foto) berkata arahan ke atas tahanan supaya melakukan ketuk ketampi itu merupakan "amalan standard" yang telah dilaksanakan selama bertahun-tahun, dan tidak dinyatakan dalam mana-mana perintah tetap dan juga tidak terkandung dalam mana-mana prosedur atau peraturan polis.
Siasatan oleh Suruhanjaya yang ditubuhkan minggu lalu itu dijalankan bagi memberi gambaran lebih jelas keadaan yang berlaku sebelum dan selepas penahanan seorang wanita yang didakwa dipaksa membuat ketuk ketampi itu di Balai Polis Petaling Jaya.
Perbuatan itu yang dirakamkan menerusi klip video, diedarkan secara meluas menerusi khidmat pesanan multimedia.
Suruhanjaya itu secara rasmi dikenali sebagai Suruhanjaya untuk Menyiasat Prosedur Tetap Operasi Dan Sebagainya Berhubung Pengendalian Pemeriksaan Tubuh Berkenaan Dengan Penangkapan dan Penahanan Oleh Polis.
Ia diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah. Anggota lain ialah bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Kuthubul Zaman Bukhari, Ketua Biro Undang-undang Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim dan Datuk Hamzah Md Rus, yang bertindak sebagai setiausaha suruhanjaya.
Peraturan lokap
Hazam berkata. beliau dimaklumkan secara lisan oleh "para pegawai kanannya" mengenai prosedur ketuk ketampi dalam keadaan bogel itu semasa menyertai pasukan polis pada 1985.
"Ia hanya amalan standard... tidak ada arahan mengenainya dalam Peraturan Lokap 1953. Ia biasanya dilakukan ke atas mereka yang ditahan kerana kesalahan dadah, jenayah berbahaya dan kesalahan senjata api," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata prosedur ketuk ketampi dalam keadaan bogel itu sepatutnya dilakukan oleh seorang pegawai polis dan jika ia membabitkan tahanan wanita, hanya pegawai wanita dibenarkan memeriksa tahanan.
Pegawai polis itu juga tidak dibenar menyentuh tahanan secara fizikal dan sebab arahan melakukan ketuk ketampi itu dilakukan bertujuan mencegah barang larangan seperti dadah daripada dibawa masuk ke lokap, katanya.
"Selepas mereka (tahanan) diarah menanggalkan pakaian, mereka akan diminta melakukan ketuk ketampi bagi mengeluarkan sebarang benda yang tersorok dalam tempat sulit...pada masa lepas prosedur itu membuahkan hasil kerana kami temui dadah dan peluru melalui prosedur itu," kata Hazam.
Menjawab soalan lain daripada panel berkenaan, beliau berkata berdasarkan "arahan yang dipanjangkan" kepadanya oleh para pegawai kanan, Hazam mengarahkan semua anggota di balai polis Petaling Jaya menjalankan prosedur ketuk ketampi itu.
Menurutnya jika gagal mematuhi arahan lisan itu, anggota pangkat rendah akan dikenakan tindakan disiplin.
Hazam berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai klip video itu pada 24 November oleh Ketua Balai Polis (OCS) Ketua Inspektor Abdul Aziz Abdul Rahman dan menyaksikan klip berkenaan keesokannya.
Suruhanjaya itu kemudiannya memainkan klip video terbabit untuk disahkan oleh Hazam, kali ini klip itu berlatarbelakangankan kesan audio, iaitu bacaan al-Quran.
Laporan polis
Hazam berkata, kali pertama menyaksikan klip itu, beliau tidak mengetahui orang yang merakamkannya.
"Saya tahu (video) ia dirakam di balai polis Petaling Jaya berdasarkan lokar tahanan dan jerejak tingkap. Saya kemudian membuat laporan polis menyatakan bahawa seorang wartawan China Press menunjukkan saya salinan fotostat dua foto wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel pada 24 November," katanya.
Ditanya sama ada beliau boleh mengenal pasti dua wanita (seorang anggota polis wanita dan seorang tahanan) dalam klip video itu, beliau berkata tidak.
Menjawab soalan lain mengenai mengapa ada suara bacaan al-Quran dalam klip video itu, beliau berkata ada surau kira-kira 50 meter dari kawasan balai polis dan kebiasaannya ayat suci al-Quran dibaca sebelum solat subuh.
Beliau berkata, video itu dirakam dari dalam balai polis kerana orang luar dilarang berada dalam bilik tempat suspek ditahan untuk diperiksa. Hazam juga berkata tidak ada jumlah khusus tahanan diarah melakukan ketuk ketampi sebelum dihantar ke lokap.
Prosidur bogel
Sementara itu, Abdul Aziz berkata mengikut prosedur, tahanan perlu dibogel dan diperiksa sebelum dihantar ke lokap.
"Tahanan akan diminta menyerah semua barangan berharga dan sebelum dihantar ke lokap, tahanan dibawa ke sebuah bilik lain dan hanya seorang pegawai dan tahanan itu dibenarkan masuk. Pemeriksaan fizikal akan dilakukan tanpa menyentuhnya. Tahanan akan diminta melakukan ketuk ketampi tidak lebih daripada 10 kali," katanya.
Ditanya dari mana asalnya peruntukan ketuk ketampi itu, beliau berkata: "Ia sudah ada...ia telah diturunkan...satu tradisi untuk mengeluarkan sesuatu barangan yang disyaki yang disorok di lubang dubur atau kemaluan".
Beliau berkata, semua tahanan sepatutnya melakukan ketuk ketampi tetapi penekanan dibuat ke atas mereka yang ditahan di pusat-pusat hiburan atau suspek yang terbabit dalam jenayah serius.
Beliau turut mengesahkan klip video ketuk ketampi selama 70 saat itu.
Abdul Aziz berkata, beliau dimaklumkan mengenai klip video itu oleh Lans Koperal Suhaimi Nordin yang berkata bahawa dia (Suhaimi) ditunjukkan klip berkenaan oleh Konstabel Zulfatah pada akhir Jun lalu.
"Konstabel Zulfatah menunjukkan klip video itu kepada Lans Koperal Suhaimi semasa mereka bertugas di pondok bit polis Tan Seri Manja. Ia kira-kira 3 hingga 4 km dari balai Petaling Jaya," katanya.
Saksi pertama siasatan itu ialah jurugambar polis Korperal Zainol Nor Rashid Mat Ariff yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.
Beliau sekadar diminta mengesahkan 16 keping foto balai polis, sel dan kawasan insiden itu dikatakan berlaku.
Pada sebelah petang, anggota suruhanjaya itu melawat balai polis terbabit. Prosiding diteruskan pada 10.30 pagi esok.
Wanita China
Empat wanita rakyat China yang mengadu menerima layanan buruk dari pihak polis ketika dalam tahanan, turut hadir bersama ahli Parlimen DAP, Teresa Kok dan peguam mereka Sankara Nair.
Bagaimanapun, mereka beredar tidak lama kemudiannya.
Suruhanjaya lima anggota itu, yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, kemudian melawat ibupejabat polis berkenaan pada jam 3 petang.
Siasatan tersebut diadakan di ruang bekas Mahkamah Persekutuan di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mulai jam 10 pagi tadi.
Kejadian ketuk ketampi itu yang didedahkan kepada umum di Parlimen pada 24 November lalu, telah mencetuskan kemarahan orang ramai sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarah siasatan bebas dijalankan terhadap kejadian tersebut.

