Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH sokong pelantikan Azhar, akui proses Parlimen makan masa
Diterbitkan:  Sep 22, 2018 9:50 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

BERSIH menyokong pelantikan peguam Azhar Azizan @ Harun selaku pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun ia tidak mematuhi manifesto PRU Pakatan Harapan (HARAPAN).

Jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 dalam kenyataan hari ini mengakui pelantikan melalui Parlimen - seperti yang dinyatakan dalam manifesto - memerlukan pindaan perlembagaan.

"Pindaan seumpama itu memerlukan sokongan dua pertiga anggota parlimen dan akan mengambil masa, dan reformasi pilihan raya tidak dapat ditunggu lagi dengan mengambil kira tiga PRK yang sudah berlalu san satu lagi di Port Dickson," kata NGO itu.

BERSIH menyifatkan Azhar sebagai peguam yang mempunyai banyak pengalaman dan kepakaran dalam kes pilihan raya, dan memenuhi kriteria NGO itu yang mengutamakan integriti, tidak berat sebelah dan bebas, serta pengetahuan dan pengalaman dalam sistem pilihan raya.

Pelantikan Azhar, atau lebih dikenali sebagai Art Harun di media sosial, diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar semalam.

Bagaimanapun bekas menteri Khairy Jamaluddin menggesa Azhar menolak dahulu pelantikan itu kerana tidak melalui Parlimen seperti yang dijanjikan HARAPAN.

Tanpa menafikan kelayakan Azhar, Khairy berkata proses reformasi institusi tidak boleh bermula dengan melanggar reformasi itu sendiri.

Turut mengalu-alukan pelantikan Azhar, peguam Syahredzan Johan juga berkata ada keperluan mendesak untuk melantik pengerusi SPR yang dipercayai rakyat selepas apa yang disifatkannya sebagai rekod buruk suruhanjaya itu pada masa lalu.

"Saya memahami kegusaran mereka...Tetapi pelantikan mengikut manifesto HARAPAN perlu melalui pindaan perlembagaan.

"Membentangkan usul di Parlimen untuk pelantikan pengerusi SPR yang baru dalam kerangka perlembagaan yang sedia akan menjadi suatu langkah yang sia-sia. Malah ia hanya akan melambatkan proses pembersihan SPR yang begitu mendesak.

"Reformasi institusi mesti dibuat dengan menyeluruh dan teratur," katanya yang juga setiausaha politik veteran DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan.

'Gantikan enam pesuruhjaya SPR'

Dalam pada itu, BERSIH menggesa kerajaan menyingkirkan enam pesuruhjaya SPR dengan segera kerana menurutnya gagal mempertahankan prinsip pilihan raya bersih dan adil pada PRU lalu.

"Sebaik saja enam pesuruhjaya ini digantikan, proses pelantikan baru perlu diwujudkan bagi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban.

"Ini termasuk penubuhan jawatankuasa pencalonan suruhanjaya pilihan raya yang dianggotai wakil daripada tiga cabang kerajaan, badan berkanun dan pertubuhan masyarakat sivil," kata BERSIH.

NGO itu juga menggesa kerajaan membentang pindaan perlembagaan bagi proses pelantikan itu pada sidang parlimen akan datang.

Lihat Komen
ADS